Rezeki itu ditentukan oleh Allah SWT. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, berusaha dan kemudian bertawakal selepas berusaha. Masa yang sama, kita digalakkan berbuat baik dengan semua orang tanpa berprasangka.
Namun ujian akan terus datang tanda Allah sayang. Hal yang sama terjadi kepada aktres Zara Zya yang terpaksa menutup perniagaan diusahakannya akibat misteri selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.
Sumber Berita Harian memaklumkan, aktres ini pernah membuka tiga kedai makan di mana dua darinya ditutup akibat masalah dalaman iaitu di Medan Selera di pusat beli belah Melawati Mall, kemudiannya buka pula Kedai Suka Makan, Mutiara Damansara.
Namun bagi restoran ketiganya, Zara Zya Cooks yang diusahakan dengan teman lelaki di Shah Alam, Selangor, tahun lalu mengalami nasib lebih teruk apabila berdepan unsur mistik. Ekoran itu, Restoran Zara Zya Cooks terpaksa ditutup buat sementara waktu, malah, Zara juga sedang mencari tapak baharu yang lebih strategik.
Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian, Anugerah Skrin 2019 itu berkata, ada faktor lain yang menyebabkan saya menutup restoran buat sementara waktu.
“Jujurnya, nak kata spesifik kena ilmu hitam hingga saya terpaksa mengambil langkah menutup restoran, tidak juga. Dalam situasi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berbulan-bulan, tentulah sukar untuk meneruskan operasi.
“Soal ilmu hitam saya anggap hanya kebetulan. Namun, saya tidak menafikan wujud situasi pelanggan tak nampak restoran dibuka. Memang ada pelanggan merungut, mereka datang ke restoran, tetapi seolah-olah tidak beroperasi, sedangkan restoran dibuka seperti biasa.
“Bayangkan, penghantaran makanan pun tak nampak restoran, sedangkan depan mata. Saya tak tahu kenapa nak berdengki dengan saya. Jika boleh minta jauh terkena sihir. Saya ada memagar restoran dengan ayat suci al-Quran, selain membuat solat hajat mengelak perkara yang tidak diingini,” – Zara Zya
Baca juga : Jumpa Duit Syiling, Pekerja Kerap Bergaduh. Awas! Penangan Sihir Perniagaan
“Saya sedang mencari tapak baharu untuk membuka restoran lain. Tetapi, restoran Zara Zya Cooks bukanlah ditutup buat selama-lamanya. Setakat ini, belum ada kata putus dan perancangan seterusnya.
“Nak kata saya kecewa restoran kena sihir hingga berniaga kek pisang tidak juga. Kita semua sedia maklum, kena duduk rumah dalam tempoh PKP. Semuanya bermula secara suka-suka apabila penggambaran tidak dibenarkan.
“Saya tak sangka pula mendapat banyak permintaan. Selepas menjualnya, ramai pula nak jadi ejen. Saya fikir kenapa tidak teruskan, boleh juga jana pendapatan ketika PKP ini. Saya menghasilkan antara 100 hingga 200 kek pisang, setiap hari. Penat usah cerita, tetapi berbaloi. Lebih utama, saya seronok ramai yang suka menikmati hasil tangan saya,” katanya.
Katanya, dia juga berniaga kek untuk beramal dan disalurkan kepada dana Zara Prihatin.
“Hasil jualan ini akan dihulurkan kepada masyarakat yang terkesan akibat PKP termasuk petugas barisan hadapan. Jika ingin makan kek sambil menderma boleh melihat Instagram saya,” katanya.
Bagaimana merawatnya dan apa doa perlu dibaca?
1) Cegah dan ubatilah dengan solat lima waktu. Ini paling penting. Pastikan peniaga dan juga pekerja-pekerja sentiasa menjaga solat. Jika kita mengabaikan solat, maka Allah akan mengabaikan kita. Jangan hanya solat mengikut musim dan ketika. Ketika ketika senang dan perniagaan maju,kita abaikan solat. Jangan sesekali melewat-lewatkan solat. Tapi ketika mula susah, barulah kita mula menunaikan solat dan dijaga waktunya.
Apabila kita menjaga solat, yakinlah Allah akan membantu apabila kita memohon bantuan-Nya. Ini kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :
“Dan mintalah oleh kamu akan pertolongan (kepada Allah) melalui jalan solat dan sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar”
2) Bersedekahlah. Ini kerana mereka yang rajin bersedekah inshaaAllah akan dilindungi dan dijauhkan oleh Allah dari segala kejahatan jin dan manusia.
3) Setiap kali selepas solat 5 waktu, amalkan zikir-zikir di bawah:
- Al-fatihah 1x
- 3 Qul 1x
- Ayat kursi 1x
- Ayat 2 dan 3 Surah at-Talaq (ayat seribu dinar) 1x
- Baca zikir “La ilaha illah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wa yumit wahuwa ‘ala kulli syai’in Qodir ” sebanyak 20x
4) Sentiasa memasang bacaan al-Quran terutamanya Surah al-Baqarah atau pun ayat-ayat ruqyah. Dari pengalaman perawatan, sentiasa memasang bacaan ruqyah sama ada di rumah atau tempat perniagaan, sangat memberikan kesan kepada jin sihir. –kashoorga–