PRN Sarawak

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan. Ini akan membuka jalan supaya pilihan raya negeri dapat diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh hari ini.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Proklamasi Darurat Sarawak Agong

Perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit kerana pada hemat Baginda negara kini masih lagi bergelut dengan ancaman Covid-19.

Namun, katanya keputusan itu diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran Baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan,”.

Azuan Effendy berkata, baginda turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.

Darurat Sarawak Tamat
PRN Sarawak 60 Hari

Terdahulu, Seri Paduka Baginda menerima menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara pada 2 November 2021.

Pada sesi menghadap ini, Abdul Taib telah menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan Sarawak kepada Seri Paduka Baginda agar Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak dapat ditamatkan. Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 8 pagi ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah nasihat daripada Ismail Sabri berhubung dengan penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak.

Pada 2 November 2021, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menerima menghadap Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Azizan Harun bagi menyembah taklimat berhubung dengan perkara yang sama.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge