Selepas ini, jika anda menjadi mangsa kepada mana-mana kes jenayah anda tidak perlu lagi risau kerana individu terbabit akan dapat ditangkap dengan begitu mudah.
Tangkapan itu adalah dengan bantuan teknologi terbaru yang akan digunakan di Malaysia selepas China menjadikan Kamera Litar Tertutup (CCTV) sebagai alat bantuan keselamatan bagi mengecam wajah mereka yang melakukan jenayah seperti merompak, membunuh atau mencuri.
Sebagai permulaan, Selangor akan memulakan langkah tersebut dengan memasang CCTV “face recognition” di beberapa kawasan “panas”.
Selain itu, ia juga akan dikawal selia terus dari “command centre” yang bertanggungjawab untuk menyelaras data, sejajar dengan misi Kerajaan Negeri mencapai visi “Selangor Smart State” menjelang tahun 2025.
Sehingga Oktober 2019, sebanyak 775 unit CCTV telah dipasang di seluruh negeri Selangor. Ini bermakna, 4,225 unit CCTV lagi akan ditambah tahun hadapan.
Selangor mengambil pendekatan China yang sebelum ini menjadi negara pertama yang menggunakan teknologi CCTV “face recognition”.
Hasilnya, negara itu berjaya mengurangkan kes jenayah selain mencari penjenayah yang dikehendaki dengan lebih efektif.
Selaras dalam Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan negeri dilihat serius untuk mengurangkan kadar jenayah di Selangor dan menambah bilangan CCTV kepada 5,000 unit terutamanya di kawasan “panas”.
Maka selepas ini peratusan jenayah di Selangor sudah tentu boleh berkurangan dengan lebih banyak walaupun sehingga Julai lalu menunjukkan penurunan sehingga hampir 12% berbanding tempoh sama tahun lalu.