Fatherless Homes

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merupakan sebuah gerakan berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal dalam misi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan Ummah pada 1500H. Bermula tahun ini, WUIF mengambil Surah Al-Mulk sebagai misi membawa al-Quran dalam bentuk Thematic & Reconstruct (Tematik & Bina Semula) pada World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan Malaysia #QuranHour.

Ia bertujuan mengubah kerangka fikir masyarakat dalam setiap aspek kehidupan di rumah, tempat kerja, komuniti, negara dan peringkat global dengan berpandukan dengan al-Quran dan Hadis. 

WUIF melalui team TickTalk sebagai Pengurus Program dengan kerjasama TV AlHijrah, Pusat Pelancongan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Sinar Harian menganjurkan World #QuranConvention “Fatherless Homes” dengan mensasarkan golongan ayah dan bakal ayah yang bersiaran secara hibrid pada 18 dan 19 Disember 2021.

Konvensyen tersebut disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd (KMK), Shah Alam bermula 8.30 pagi hingga 1 tengah hari. Sementara itu, orang ramai boleh sertai di platform Zoom, Facebook Quran Hour dan Sinar Harian.

Fatherless Homes

Dalam konteks World #QuranConvention kali ini, WUIF membawa Surah Al-Mulk untuk membentuk kerangka fikir golongan bakal ayah dan ayah. Konvensyen ini bertujuan mengangkat martabat peranan ayah sebagai ketua keluarga dan pemimpin masuk syurga sekeluarga. 

Tiga motivasi daripada Surah Al-Mulk yang difokuskan ialah keberkatan dalam amalan dan pekerjaan;  ingat mati dengan meningkatkan kualiti dan produktiviti serta doa; dan Ahsanu ‘Amala untuk menjadi mukmin yang lebih baik.   

Penceramah dan qari dari dalam dan luar negara akan bersama memberi pengisian pada konvensyen tersebut. Acara dimulakan dengan sesi ucaptama “Fatherless Homes” oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri. 

Antara penceramah jemputan ialah Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; dan Pengasas Ar-Rahman Qur’anic Learning Centre dari Indonesia, Ustaz KH Bachtiar Nasir; Profesor Ulung Pusat Islamisasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri  Dr Mohd Kamal Hasan;  Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ Dr Nooh Gadot; dan Rektor Fatoni University, Thailand, Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya. 

Qari jemputan ialah Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Amirrahman Abas, Ustaz Muhammad Husaini Mahmur, Ustaz Abu Rabbani (Indonesia), Ustaz Ambya Abu Fathin (Indonesia), dan Ustaz Zahil Zakaria (Singapura). 

Manakala seleberiti Raqib Majid dan Hos TickTalk, Hifdzi Zaim Zamri yang menjadi hos di sepanjang konvensyen tersebut. 

Fatherless Homes 1

Dalam menuju pelaksanaan konvensyen tersebut, Kempen Cerita Tentang Ayah dilancarkan bagi menggalakkan para ibu dan anak untuk “Write & Rewrite” (Tulis & Tulis Semula) cerita dan kisah perjalanan kehidupan bersama ayah agar hubungan kekeluargaan lebih bahagia dan harmoni.

Ini selari dengan peranan ayah sebagai pemimpin, ibu pendamping, anak jambatan dan datuk nenek sebagai model untuk masuk syurga bersama keluarga. 

Terdapat 14 kali dialog antara seorang ayah dan anak disebut dalam al-Quran, 2 kali antara seorang ibu dan anak, manakala terdapat 1 kali disebut sama ada ayah atau ibu. Hal ini membuktikan betapa besarnya peranan ayah dalam membentuk institusi keluarga yang berteraskan al-Quran. Semoga ia menjadi sebuah permulaan mengukuhkan ahli keluarga menuju kebaikan. 

ALLAH berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (Surah At-Tahrim: 6)

Berpandukan solusi al-Quran, peranan ayah adalah:

  1. Didik tauhid – Menanamkan cinta kepada ALLAH SWT. 

ALLAH SWT berfirman: “Dan (Ibrahim) menjadikan (kalimah tauhid) itu kalimah yang kekal pada keturunannya, agar mereka kembali (kepada kalimah tauhid itu)” (Surah Al-Zukhruf: 28)

  1. Kekal Muslim –  Menjalankan perintah ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

 ALLAH SWT berfirman : “Dan Ibrahim mewasiatkan (ucapan) itu kepada anak-anaknya demikian pula Yaakub. “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama ini untukmu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.” (Surah Al-Baqarah: 132)

  1. Dirikan solat  dan bersedekah  – Solat berjemaah di masjid dan rumah, mendidik dan memberi sedekah

ALLAH SWT berfirman: “(Iaitu) mereka yang beriman keada ghaib, mendirikan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah Al-Baqarah: 3)

  1. Doakan zuriat mendirikan solat – Menjadi seorang ayah yang mendirikan solat, mengajar anak untuk solat, mendoakan keluarga agar istiqamah mendirikan solat.  

ALLAH SWT berfirman: “Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Surah Ibrahim: 40)

World QuranConvention

Majlis penutup konvensyen dan acara pelancaran Surah As-Sajdah disempurnakan oleh YBhg  Dato’ (Dr) Noor Gadot dan Pengerusi KMK merangkap Pengasas WUIF, Dato’ Hussamuddin  Yaacub. Surah As-Sajdah menjadi surah pilihan untuk program #QuranHour pada 2022.

Konvensyen tersebut merupakan kesinambungan daripada program Majlis Ayah yang dilaksanakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sepanjang Ramadan sejak tahun lepas (2020).

Program yang bertemakan ayah di bawah kempen #SavingFamilies dengan berpandukan Surah At-Tahrim, ayat 8, akan diperluaskan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 

Orang ramai, institusi dan masjid diharapkan dapat menyokong kepada World #QuranConvention. Konvensyen tersebut sebagai permulaan bagi menyediakan pelan tindakan kepada pengurusan keluarga terutama ayah agar kembali berfungsi dengan efisien dan bina kembali negara bertakwa.

World #QuranConvention bermula pada 2019  dengan kerjasama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Majlis perasmian konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge