Raja Bomoh Banjir

Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan amalan atau ritual menolak musibah banjir yang menjurus kepada khurafat dan bertentangan dengan agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata amalan sedemikian adalah perbuatan yang mencela agama Islam.

Ujarnya sebaik mendapat maklumat berkenaan perkara itu, pihaknya segera menghubungi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk segera mengambil tindakan.

raja bomoh banjir

“Kuasa untuk mendakwa ada pada pihak berkuasa agama negeri. Mereka yang berkongsi maklumat dengan pihak JAKIM akan kami maklumkan kepada badan berkaitan untuk segera mengambil tindakan,” katanya kepada media selepas Majlis Konvensyen Pendidikan Islam dan Penyampaian Anugerah Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2021, di Kuala Terengganu.

Beliau diminta mengulas satu ritual menolak musibah banjir yang tular di media sosial dan didakwa dilakukan Ibrahim Mat Zin atau terkenal dengan gelaran Raja Bomoh.

Video berdurasi 25 minit itu memaparkan Raja Bomoh bersama seorang wanita melakukan ritual tepung tawar dipercayai menolak musibah banjir.

Wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ itu turut menyanyikan lagu Mayang Sari dengan meletakkan kitab suci al-Quran di hadapan mereka.

Raja bomoh Ibrahim Mat Zin

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memaklumkan kertas siasatan berhubung perkara itu telah dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

JAIPk membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim Mat Zin atau gelarannya Raja Bomoh berhubung ritual menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan seperti yang tular di media sosial pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge