Pakaian YDPA

Pakaian dan alat kebesaran Diraja diguna dalam pelbagai istiadat seperti pertabalan, pembukaan sidang Parlimen dan sambutan hari keputeraan. Selain dipakai, ada alat kebesaran dibawa bentara istana semasa istiadat.

Seringkali kita melihat set busana yang sering digayakan oleh Ketua Negara Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam majlis-majlis rasmi di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai pakaian istiadat dan alat kebesaran diraja, antaranya tanjak, keris, cogan alam, cogan agama, payung diraja dan sundang.

Sedar atau tidak, masih ramai yang belum tahu tentang keistimewaan set busana itu serta aksesori yang dipadankan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Mari kita lihat keistimewaan baju dan aksesori yang sering dikenakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Pakaian dan alat kebesaran Diraja

TENGKOLOK DIRAJA

Berkurun lamanya Raja-raja Melayu memakai kain ditenun dengan sutera yang dikarang dengan pelbagai ikatan di kepalanya sebagai pakaian kebesaran. Kain kepala itu dikenali tengkolok.

Tengkolok Diraja dipakai Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalan dan istiadat lain berwarna hitam bersulam benang emas.

Ikatannya dinamakan ‘Dendam Tak Sudah’ berasal dari Negeri Sembilan. Di sebelah hadapan tengkolok terdapat anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengahnya terletak Jata Negara.

Muskat Diraja

MUSKAT

Baju yang dipakai Yang di-Pertuan Agong dan pegawai-pegawai Istiadat Istana Negara ini berasal dari Muskat, Oman.

Pada awalnya, merupakan pakaian rasmi pegawai Kerajaan Negeri Kedah sebelum diilhamkan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj untuk diubah suai sebagai pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Pakaian ini mula dipakai pada 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullail.

Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya; labuhnya hingga ke paras paha dan berlengan panjang

Kebiasaannya, baju ini dipakai bersekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok dalam istiadat rasmi

Pakaian dan alat kebesaran Diraja

PENDING DIRAJA

Diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan permata delima yang di tengahnya tertera lambang kerajaan persekutuan.

Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

Keris Diraja

KERIS PENDEK DIRAJA

Diperbuat daripada mata keris lama, berhulu dan bersarungkan gading bertatahkan emas

Hulu keris ini dinamakan hulu tajong variasi bangsa agung. Pada sampir keris ini diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini adalah pakaian kebesaran diraja dan seperti Keris Panjang Diraja, hanya dipakai Yang di-Pertuan Agong.

KERIS PANJANG DIRAJA

Alat kebesaran yang sangat dimuliakan dan utama dalam istiadat pertabalan. Keris Panjang Diraja adalah keris kerajaan dan tanda kebesaran serta kekuasaan.

Keris ini dari hulu hingga ke sarungnya bersalut dengan emas. Di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang sebelas negeri-negeri Tanah Melayu.

Matanya ditempa daripada besi waja yang diambil daripada sebelas bilah keris negeri-negeri itu. Hulu keris ini berbentuk tapak kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering. Keris ini hanya dibawa oleh Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja.

Pakaian dan alat kebesaran Diraja

GANDIK DIRAJA

Diperbuat daripada emas putih bertatah penuh permata berlian berbunga awan larat, gendik merupakan pakaian Raja Permaisuri Agong.

Pada awan larat gendik terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih.

Gendik ini dipakai Raja Permaisuri Agong dalam istiadat kebesaran diraja dan waktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Gendik ini boleh dipisahkan menjadi loket dan kerongsang.

Kalung Diraja

KALUNG DIRAJA

Diperbuat daripada emas putih bertatah penuh permata berlian.

Kalung ini sebahagian daripada pakaian kebesaran Raja Permaisuri Agong dalam istiadat dan pada waktu pertabalan. Kalung ini juga boleh diceraikan menjadi sepasang subang, kerongsang
dan kerabu.

Sumber: Laman Web Rasmi Istana Negara, House of Pahang

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge