Rumah cantik

Isu harta pusaka sering timbul dalam sesebuah keluarga. Lebih-lebih lagi jika wasiat tidak sempat diuruskan sehinggalah ibu bapa meninggal dunia.

Kebanyakannya tidak berkesudahan dengan baik. Perebutan dan pergaduhan tetap berlaku sesama waris. Adik-beradik berpecah belah, bergaduh dan putus saudara hanya kerana harta pusaka peninggalan ibu ayah. Itu realitinya.

Hari ini, saya kongsikan kisah adik beradik suami Anisah (bukan nama sebenar) yang berebut tanah sekangkang kera milik arwah bapa mereka di kampung.

Cerita Anisah, bukan mudah mencapai kata sepakat dalam adik beradik.

Walau dilahir dari rahim yang sama, perangai dan sikap berbeza-beza. Ada yang mudah mengalah, ada yang kuat merajuk, ada yang suka menguasai dan macam-macam perangai lagi.

harta pusaka keluarga

Tapi dalam kebanyakan kes, kata Anisah, berebutkan harta pusaka keluarga menjadi punca putusnya ikatan persaudaraan.

Itulah yang berlaku kepada suaminya, Azizi (bukan nama sebenar) yang disisih saudara kandung kerana berebut harta pusaka.

Azizi merupakan anak bongsu daripada enam beradik. Dia mempunyai tiga orang abang dan dua kakak. Masing-masing sudah berkeluarga dan tinggal di Kuala Lumpur.

Semasa hidup, bapa Azizi pernah menyampaikan hasrat di hadapan enam anaknya untuk menyerahkan tapak dan rumah yang diduduki kepada Azizi.

Ketika itu, tiada sebarang bantahan daripada adik-beradik suaminya. Anisah sendiri menjadi saksi ketika bapa mentuanya menyampaikan amanat itu.

Rumah
gambar hiasan

Berbanding abang-abang dan kakak-kakaknya, Azizi banyak mengurus dan menjaga bapa selepas kematian ibu mereka.

Selepas menamatkan pengajian di salah sebuah universiti tempatan dalam bidang perniagaan, Azizi mengambil keputusan pulang ke kampung atas permintaan bapanya

Bapanya yang semakin uzur ketika itu mahu Azizi menguruskan kedai runcit yang diusahakan selama ini. Anisah yang ketika itu bertugas di sekolah rendah di kampung itu, secara tidak sengaja melihat Azizi.

Mereka seterusnya jatuh cinta pada pandangan pertama.

Setelah hampir tiga bulan mengenali hati budi, mereka sepakat untuk mendirikan rumah tangga. Anisah bersetuju tinggal bersama Azizi dan bapa mentuanya.

Sepanjang tempoh lima tahun hidup berumahtangga, Anisah dapat melihat sisi lain Azizi. Azizi bukan sahaja seorang suami dan bapa yang penyayang kepada dua anak mereka, bahkan juga kepada bapanya.

jongkong emas

Abang-abang dan kakak-kakaknya jarang pulang ke kampung. Hanya pada hari raya sahaja. Jika pulang pun mereka tinggal di hotel di pekan berhampiran.

Pada awalnya Anisah tidak perasan mengenai sikap abang dan kakak suaminya yang bermulut manis di hadapan bapa mereka.

Sehinggalah pada satu hari dia terdengar perbualan antara abang iparnya yang tidak berpuas hati tentang hasrat bapa mereka menyerahkan tapak dan rumah di kampung kepada suaminya.

Disebabkan enggan menimbulkan perbalahan sesama adik-beradik, Anisah mengambil sikap berdiam diri. Sebelum itu, Anisah pernah menasihatkan Azizi agar pembahagian harta diuruskan ketika bapanya masih hidup.

Namun Azizi menolaknya dengan alasan percaya kepada darah daging sendiri.

Sehinggalah bapa mentuanya menghembuskan nafas terakhir pada pertengahan Januari tahun lalu.

Kubur Orang Islam

Sangkaan Anisah memang tepat. Kubur bapa mentua masih merah, adik-beradik suaminya berebut harta. Abang-abang dan kakak-kakak suaminya mendakwa apa yang diwasiatkan bapa mereka sebelum ini tidak sah.

Mereka tetap mahu harta pusaka bapa mereka dibahagikan mengikut faraid. Suami Anisah tidak membantah kerana percaya kaedah pembahagian harta pusaka secara faraid adalah paling baik.

Ini kerana kaedah ini menetapkan siapakah waris yang layak dan berapakah bahagian yang diperoleh setiap seorang secara khusus.

Azizi berharap sebaik semua mendapat bahagian masing-masing, hubungan mereka adik beradik kembali pulih. Anisah mengakui suaminya mahu perkara tersebut diselesaikan secara baik.

Azizi enggan memanjangkan perkara tersebut kerana tidak mahu silaturahim dengan saudara kandungnya terputus. Hanya disebabkan harta pusaka keluarga tidak seberapa itu, Azizi tidak mahu mereka adik-beradik terus bergaduh dan bermasam muka.

Bagi Azizi, masih belum terlambat untuk dia mengubah situasi itu kembali mengeratkan silaturahim yang terputus sejak kematian bapa mereka.

Islam sendiri sangat mementingkan menjaga silaturahim bukan sahaja sesama ahli keluarga malah sesama manusia.

harta pusaka keluarga

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasullullah SAW pernah bersabda: Sesiapa yang ingin dilapangkan baginya rezeki dan dipanjangkan untuknya umur, hendaklah dia menyambung silaturahim. (Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557).

Begitulah pentingnya bagi kita menjaga silaturahim dalam Islam, malah Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga hubungan itu.

Cerita ini diceritakan oleh Roslah Othman di mana beliau merupakan bekas wartawan meja Keluarga, Utusan Malaysia.

Perkara seperti yang berlaku pada Azizi pada dasarnya kita semua dapat dielakkan dengan ada ilmu dan pemahaman tentang wasiat dan hibah.

Nak belajar dengan betul dan buat sendiri pelbagai jenis surat wasiat dan hibah serta tentang harta sepencarian, dapatkan Ebook dari Ustaz Ghazali Ibrahim.

3 Comments

  1. Allahuakbar..ni la yang paling kita takutkan. Sebab tu kan kita kena didik anak dari kecil lagi supaya tak cintakan dunia dan didik juga tentang harta pusaka ni

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge