Yusuf al Qaradawi

Ulama tersohor, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang berpangkalan di Qatar dan merupakan pemimpin kerohanian Ikhwanul Muslimim, meninggal dunia hari ini, demikian menurut kenyataan laman Twitter rasminya.

Ulama dan ilmuwan Islam itu meninggal dunia pada usia 96 tahun. Semasa hidupnya, Sheikh Yusuf lantang mengkritik kerajaan pimpinan Presiden Mesir, Abdel Fatah al-Sisi.

Ulama besar itu menghembuskan nafas terakhir di negara Teluk, Qatar di mana beliau hidup dalam buangan susulan tindakan tentera menumbangkan kerajaan pimpinan di Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

Sheikh Yusuf dibicarakan dan dihukum mati tanpa kehadirannya di Mesir.

Pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang diasaskan di Mesir dan berkembang di serata dunia Arab, memainkan peranan utama dalam kebangkitan pada 2011 yang menggegarkan rantau Asia Barat dan memegang tampuk pemerintahan selepas menggulingkan diktator Hosni Mubarak.

Bagaimanapun, pemerintahan Ikhwanul Muslimin selama lebih setahun berakhir dengan rampasan tentera dalam tahun 2013.

Sheikh Yusuf al-Qaradawi Meninggal Dunia

Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge