Seramai 261 orang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan sehingga kini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, jumlah terbaru itu melibatkan 171 orang mangsa yang telah dibawa balik ke tanah air dan baki seramai 90 orang masih menunggu proses penghantaran pulang.
Penerbangan AirAsia AK535 pada Jumaat lepas adalah penerbangan terkini yang membawa pulang 13 mangsa.
Pihak Kementerian Luar dan Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terlibat terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan kerajaan negara-negara yang berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini.
Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada polis dan Kementerian Luar sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Kementerian Luar sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.
Bagi menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah dijalankan secara dalam talian pada 27 Sept.
Mesyuarat itu turut membabitkan sembilan kementerian atau agensi lain, iaitu Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Dalam Negeri (KDN); polis; Jabatan Imigresen; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Belia dan Sukan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Antara cadangan, tindakan yang telah dan akan dilaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini termasuk mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara yang terlibat pada 30 Sept.
Ketua-ketua Perwakilan asing berkenaan telah menyatakan komitmen kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama dalam menangani isu ini.
Baca juga : Upah Lumayan Seludup PATI, Warga Tempatan Gelap Mata
Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand juga diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu berkaitan mangsa sindiket tipu kerja Kemboja ini secara cepat dan tuntas.
Kementerian Luar bersama-sama polis juga kini menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih erat di antara polis Malaysia dengan pihak berkuasa negara-negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus.
Kementerian Luar turut mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menyediakan pelan komunikasi yang lebih komprehensif bagi memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terjebak dengan sindiket ini.