anak kecil solat

Kajian menunjukkan, terdapat tiga kali sepanjang hidup anak-anak mengalami waktu golden age yang tidak akan berulang kembali, jika ibu bapa terlepas peluang keemasan itu. Bagaimanapun, jika ibu bapa sudah terlepas kali yang pertama, masih ada peluang untuk kali kedua. Jika terlepas kali pertama dan kedua, ibu bapa memiliki peluang yang terakhir jika menurut pakar yang mengkaji tingkah laku didik anak-anak di Universiti Harvard, Richard.

Pertama: 0-3 tahun, tempoh keemasan pertama perkembangan otak

Kedua: 3-6 tahun, tempoh puncak kedua perkembangan otak

Ketiga: 7-10 tahun, adalah puncak terakhir pembangunan

Waktu keemasan perkembangan kanak-kanak

Waktu-waktu penting ini dipanggil golden age atau waktu keemasan lantaran perkembangan yang sangat menakjubkan dan terbaik pada usia kecil. Seorang anak mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang sangat luar biasa, sama ada dari segi fizikal, kemahiran motor, emosional, kognitif, mahupun psikososial (Dahlia Patiun dan rakan-rakan, 2019).

Usia empat tahun ialah umur anak-anak tipikal sudah pandai membezakan antara yang baik dan jahat. Permulaan empat tahun mereka mula minat meneroka alam luar dan mengenal manusia sekelilingnya. Mereka mula mengesan persekitaran yang terbentuk di sekitar mereka. Jadi, jika persekitarannya ialah masjid dan al-Quran, tidak mustahil anak usia empat tahun ini akan melentur dari rebung seperti Imam Syafie, Imam Bukhari dan imam-imam hebat dalam sejarah Islam.

Menurut pakar pediatrik, jika golden age didik anak dengan peraturan tertentu seawal usia empat tahun, perbuatan tersebut akan menjadi habit anak-anak tersebut tanpa perlu dipaksa-paksa setelah mereka meningkat dewasa.

Bukan tidak boleh melatih atau membiasakan anak-anak pada usia tujuh tahun, lapan tahun dan ke atas, tetapi perbuatan itu boleh jadi tidak betul-betul melekat kuat dalam diri anak-anak. Justeru, usia empat tahun adalah umur yang amat sesuai jika ibu bapa mahu anak-anak akrab dan cinta masjid dengan cara menunaikan solat di masjid bersama ayah atau ibunya.

Baca juga : Didik Jiwa Berkorban Walau Baru Bertatih

Hukum Membawa Anak ke Masjid

Membentuk Kebiasaan Golden Age Didik Anak

Setelah melalui fasa susah payah mengajak, membiasakan dan melatih anak-anak dengan adab-adab di masjid seawal usia empat tahun. Cinta masjid akan menjadi darah daging si anak sehinggalah dia menua. Kemahiran dan pengetahuan anak yang berumur empat tahun akan terus berkembang dengan pesat.

Pada usia empat tahun, kanak-kanak sedang memasuki fasa mengendalikan tingkah laku dan emosi. Termasuklah apabila mereka sedang lapar, sibuk, marah dan kecewa. Inilah fasa yang otak mereka mudah menerima sebarang peraturan yang diperkenalkan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.

Bagaimanapun, fasa PKP yang berlaku kesan pandemik selama dua tahun agak memberi kesan kepada didikan cinta masjid terhadap anak-anak kita. Tidak semua kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak dibenarkan memasuki masjid sepanjang tempoh pandemik sebelum ini. Sekarang, seluruh dunia berada dalam tempoh endemik seperti yang diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia bermula pada 1 April 2022.

Ini sekaligus menjelaskan kepada kita semua bahawa, kita akan hidup bersama-sama dengan virus C0VID-19 ini dalam kehidupan seharian kita. Ibu bapa Muslim digalakkan merancang kembali strategi-strategi yang perlu dibuat agar dapat memupuk kecintaan dan keakraban anak-anak dengan masjid semula.

Kita tidak mahu membiarkan anak-anak kita yang lahir dan hidup di zaman sekarang ini, berasa masjid itu asing buat mereka. Walhal masjid sepatutnya menjadi pusat pendidikan dan pembangunan jiwa seorang Muslim untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Golden Age Anak

Kita Ibu Bapa Kategori Mana?

Kita boleh nampak lelaki-lelaki Muslim yang mengalirkan air mata kesedihan kerana dihalang daripada menunaikan solat dalam tempoh PKP, PKPB, PKPP, PKPD. Begitu sekali sebaknya mereka kerana tidak dapat berkunjung ke rumah Allah dengan bebas. Namun, ada sebahagian lelaki Muslim tidak berasa apa-apa, hatinya seolah-olah melonjak gembira. Ini kerana tidak perlu bersusah payah berebut-rebut masuk ke masjid terutama waktu solat Jumaat.

Kita nampak dua situasi jiwa yang berbeza. Yang merisaukan ibu bapa Muslim ialah apabila kanak-kanak dihalang memasuki dan mendirikan solat di masjid kecuali usia 12 tahun yang sudah divaksin.

Pengisytiharan endemik ini sebenarnya sesuatu yang bermakna buat umat islam sudah boleh menunaikan solat berjemaah di masjid tanpa penjarakan sosial. Ini termasuk juga dalam boleh merapatkan saf seperti biasa terjaga agar tidak menyebarkan virus C0VID-19.

Kesimputannya, ibu bapa adalah guru pertama anak-anak. Rumah adalah benteng pertahanan paling akhir daripada dimusnahkan oleh musuh-musuh yang membenci Islam. Jangan lepaskan peluang keemasan ini duhai ibubapa semua! Coraklah zuriat kita mengikut sibghah (acuan) Allah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge