bendera PN vs BN

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru berakhir ini telah membawa ketidaktentuan kepada negara dengan parlimen yang tergantung apabila tidak ada mana-mana parti yang mencapai majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.  

Ahli Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata keputusan di luar jangkaan itu bukanlah suatu yang mengejutkan sambil menambah itulah caranya bagaimana demokrasi diamalkan pada hari ini. 

“Kerajaan baharu boleh dibentuk tanpa menang majoriti kerusi, kerajaan campuran beberapa parti politik dan satu pakatan baharu muncul,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual. 

Sejumlah 220 daripada 222 kerusi parlimen dipertandingkan apabila pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan ke 7 Dis susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH-PKR) M.Karupaiya pada Rabu lepas manakala pengundian ditangguhkan di 11 pusat mengundi di Parlimen Baram Sarawak berikutan banjir.

PRU15 Parlimen Tergantung

Memetik perkembangan terbaharu di United Kingdom yang mana perdana menterinya pada masa itu, Liz Truss, bertukar dalam tempoh 45 hari selepas pelantikan beliau, ia membuktikan bahawa perdana menteri bergilir, kaedah pertukaran yang membolehkan kerajaan dibentuk tanpa perlu satu parti majoriti boleh dilaksanakan. 

Pada asasnya, ekonomi Malaysia adalah kukuh, namun senario semasa sedikit sebanyak akan menjejaskan sentimen pelabur walaupun dalam jangka masa pendek, kata Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, timbalan naib-canselor kajian penyelidikan dan graduan di i-CATS University College.

Beliau berkata, para pelabur kemungkinan akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga kerajaan baharu dibentuk. 

Pakatan yang mana? Dalam politik semuanya boleh berlaku

Sementara itu, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail daripada Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya berkata terdapat banyak senario yang boleh berlaku dan ia bergantung sepenuhnya kepada hasil rundingan antara parti-parti.

PRU15 menyaksikan pertembungan tiga pakatan utama, iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berbanding pilihan raya sebelum ini hanya antara BN dan PH. 

“Jika satu parti menang, situasi politik akan menjadi lebih stabil; jika keputusan setara, dua parti akan bergabung untuk membentuk kerajaan, tetapi pada masa ini kita tidak tahu siapa yang akan bekerjasama dengan siapa,” katanya. 

Jangkaan awal dan yang mana pasaran mengambil kira adalah pembentukan kerajaan BN yang diterajui UMNO dengan kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Zahid Hamidi Muhyiddin Yassin

Parlimen Tergantung Selepas PRU15

Bagaimanapun, keputusan PRU15 jauh tersasar daripada ramalan dengan BN mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila ia hanya menang 30 kerusi daripada 178 kerusi yang dipertandingkan.

PH memperoleh 82 kerusi parlimen dan PN sebanyak 73 parlimen. Ia diikuti oleh GPS dengan 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, Warisan 3 kerusi dan lain-lain empat kerusi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tidak ada mana-mana parti politik memperoleh majoriti mudah selepas gagal memenangi 50 peratus daripada 219 kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam PRU15. 

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, kecuali PH, yang boleh menerima prinsip parti itu dalam membentuk kerajaan yang bersih dan stabil. 

Beliau juga berkata PN telah menerima surat daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diarah untuk memuktamadkan perkara tertentu menjelang tengah hari, hari ini.

“Tidak perlulah saya dedahkan kandungan surat itu. Yang Dipertuan Agong telah menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan dengan sewajarnya.  

“Kami perlu membincangkan beberapa perkara tertentu dan kami berharap dapat memuktamadkannya pada tengah hari ini, InsyaAllah,” katanya.

Parlimen Tergantung

Sokongan Bentuk Kerajaan Baharu

Sementara itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memperoleh sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah. 

Firma pembrokeran CGS-CIMB sebelum pilihan raya meramalkan sekiranya PRU15 berakhir dengan parlimen tergantung, pasaran mungkin akan mengalami pembetulan berikutan kebimbangan ketidaktentuan politik pasca pilihan raya. 

Penganalisis Maybank Investment Bank Suhaimi Ilias pula berkata, ”kita tidak seharusnya menolak kemungkinan berlakunya pakatan yang ‘tidak diduga’. Ini kerana walaupun kedengaran agak klise namun ‘dalam politik segalanya boleh berlaku’ dan ‘tidak ada rakan dan seteru yang kekal dalam politik’.

Beliau berkata kemungkinan lain adalah Kerajaan ‘minoriti’ berikutan parlimen tergantung atau kebuntuan dalam kalangan parti untuk membentuk kerajaan pakatan dengan majoriti mudah. 

 Senario itu akan membawa impak dan perubahan dasar dan akan menjadi tempoh tidak menentu kepada ekonomi dan pasaran, katanya. 

Kepentingan bersama dalam dasar, rakyat dan ekonomi

Walau apa juga keputusannya, konsolidasi fiskal akan kekal menjadi keutamaan, walaupun laluan itu mungkin berbeza bergantung kepada parti atau pakatan mana yang menerajui kerajaan, katanya. 

Dari segi perbelanjaan kerajaan, langkah-langkah beroreintasikan rakyat akan diteruskan terutamanya pemberian tunai kepada rakyat yang telah laksanakan sejak sebelum PRU14 oleh kerajaan BN pada masa itu dan diteruskan menerusi pertukaran nama untuk mencerminkan Kerajaan yang mentadbir.

“Apa yang kami jangkakan dari segi pemberian tunai adalah bantuan lebih bersasar seperti penyusunan semula subsidi kepada mekanisme bersasar bagi sistem menyeluruh dan rasionalisasi pelbagai jaringan keselamatan sosial dan program kebajikan.  

“Kami juga menjangka kerajaan pasca PRU15 meneruskan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan dalam Bajet 2023,” katanya. 

Beliau berkata projek prasarana utama akan diteruskan – bagi projek yang sedang dalam pembinaan  – Laluan Rel Pantai Timur, Landasan Elektrik Berkembar Gemas-Johor Bahru (JB), Laluan Transit Rel JB-Singapura, Lebuh Raya Pan-Borneo projek Sabah-Sarawak Link Road – dan bagi projek yang tendernya telah bermula – Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3).

PN Best

Peruntukan Kerajaan Persekutuan

Peruntukan tinggi perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri kurang maju bagi prasarana asas juga dijangka diteruskan.

“Kerajaan Persekutuan baharu dijangka menumpu kepada menambah baik kualiti dan penyampaian perkhidmatan awam penting, terutamanya pendidikan, latihan dan penjagaan kesihatan serta merealisasikan aliran pelaburan lebih tinggi dan berkualiti ke negeri kurang membangun bagi pembangunan sosia-ekonomi lebih inklusif, setara dan seimbang,” katanya.  

Memandangkan kemampanan merupakan prinsip yang diberi tumpuan utama ketika ini, mana-mana kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU15 sudah tentunya akan menjadikannya sebagai agenda dasar utama terutamanya dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjayakan komitmen Malaysia bagi menangani perubahan iklim. 

Bidang utama akan termasuk tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, mitigasi impak bencana alam, pengurusan sumber semula jadi, membimbing dan membantu masyarkat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi peralihan ke arah kemampanan.

1 Comment

  1. yang muhyidin dapat kurang majoriti tu celebrate macam dah menang kenapa? lawak betul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge