cas kereta elektrik Malaysia

Tahu tak bahawa kereta berkuasa elektrik dan kereta berkuasa petroleum sebenarnya dicipta dalam kurun yang sama? Hanya 30 tahun jarak masa antara penciptaan kedua-dua kenderaan ini. Kereta berkuasa petroleum pertama dicipta oleh Karl Benz pada tahun 1855 manakala kereta elektrik pertama dicipta oleh Gustave Trouvé pada tahun 1881. Kedua-dua kenderaan ini terus mengalami evolusi namun penggunaan kereta berkuasa petroleum lebih meluas kerana: 

  • Lebih mudah untuk mengisi petrol daripada menukar atau mengecas bateri.
  • Bateri pada zaman itu sangat besar dan tak sesuai untuk dipasang pada kereta. 
  • Kereta berkuasa petroleum lebih tahan lama. 

Kereta membakar petroleum dan mengeluarkan asap yang mengandungi gas karbon yang berbahaya kepada alam sekitar. Pelepasan gas karbon ini telah menyebabkan krisis cuaca yang membimbangkan. Anda boleh baca di berita dan media sosial tentang betapa bercelarunya cuaca sejak bermulanya dekad 2020-an. 

Sedar dengan perkembangan ini, kereta elektrik (EV) mula dipopularkan kembali. Kononnya EV ini lebih mesra alam kerana tidak mengeluarkan sebarang gas karbon ke persekitaran. Seterusnya tidak menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar. 

Tapi betul ke apa yang dikatakan ini? 

Patent Motorwagen

Betul Ke Kereta Elektrik Mesra Alam? 

Kereta memerlukan tenaga untuk digerakkan. Antara bahan bakar paling banyak digunakan ialah petroleum. Pembakaran petroleum ini membebaskan gas karbon yang sangat berbahaya kepada alam sekitar. Gas karbon boleh menyebabkan berlakunya pemanasan global dan perubahan cuaca. 

Lapisan ozon yang semakin menipis boleh menyebabkan bencana cuaca paling buruk kepada manusia! Perasan tak cuaca makin bercelaru sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini? Itulah antara kesan pelepasan gas karbon. Manusia? Sudah tentu akan ikut terjejas bersama alam sekitar!

Kereta merupakan antara kenderaan yang paling banyak membakar petroleum. Penggunaan petroleum ini menyumbang kepada sehingga 4.6 tan metrik untuk setiap kereta. Ada lebih kurang 1.45 bilion kereta di seluruh dunia. Jadi, anda kiralah sendiri berapa banyak gas karbon dilepaskan ke alam sekitar setiap tahun. 

Kerana itulah EV dilihat sebagai antara alternatif terbaik kepada kereta berkuasa petroleum. EV didakwa tidak mengeluarkan gas karbon menjadikan ia lebih mesra alam. Tapi, betul ke ia lebih mesra alam? 

Jawapannya, ya dan juga tidak. Memang tak dinafikan EV ini tidak mengeluarkan langsung gas karbon semasa digunakan kerana ia menggunakan tenaga elektrik untuk menggerakkan motornya. 

Tetapi, kuasa elektrik EV ini disimpan di dalam bateri yang perlu dicas. Nak cas bateri EV ini memerlukan tenaga elektrik daripada soket tenaga. Jadi, bagaimana tenaga elektrik ini dijana?

Baca juga : Kereta Tak Boleh Start, Ini 5 Punca Yang Perlu Anda Tahu

cas kereta elektrik

Penghasilan Gas Karbon

Di Malaysia, elektrik dijana dengan beberapa kaedah. Melalui loji petroleum, gas asli, arang batu, hidroelektrik, dan juga solar. Penjanaan elektrik menggunakan arang batu mengeluarkan paling banyak gas karbon. Jadi, apa guna memandu EV jika tenaga elektrik dijana masih lagi menghasilkan gas karbon? Sama saja kan? 

Selain itu, bateri yang digunakan dalam EV bukanlah seperti bateri biasa. EV menggunakan bateri litium ion. Untuk menghasilkan bateri ini, beberapa unsur nadir diperlukan iaitu litium, kobalt, dan beberapa unsur lain. 

Proses melombong unsur-unsur ini juga merosakkan alam sekitar dan mencemarkan sumber air. Untuk memproses unsur-unsur mentah ini kepada bateri juga boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar. 

Disebabkan inilah, kereta EV ini tidaklah sepenuhnya boleh dikatakan sebagai mesra alam. Walaupun tidak mengeluarkan gas karbon, ia masih mempunyai jejak karbon sepanjang proses untuk menghasilkannya. 

Malah ada kajian yang mengatakan bahawa kereta berkuasa petrol sebenarnya lebih mesra alam jika nak dibandingkan dengan menggunakan EV. 

Masa Depan EV 

Tidak dinafikan, EV mungkin akan menjadi antara pengangkutan utama di masa depan. Kenapa? Ini kerana petroleum merupakan sumber tenaga tak boleh diperbaharui dan bekalan petroleum akan habis juga suatu hari nanti. 

Walau bagaimanapun, masalah-masalah pencemaran ketika menghasilkan EV ini masih lagi menjadi penghalang untuk menyakinkan orang ramai akan kebolehpercayaan EV ini untuk mengambil alih fungsi kenderaan berkuasa petroleum sepenuhnya. 

Sekarang, pelbagai kajian dijalankan untuk mewujudkan proses penghasilan bateri EV yang lebih mesra alam termasuklah mengitar semula bateri litium ion yang telah luput tenaganya tanpa perlu melombong bagi mendapatkan bekalan litium baharu. 

Dengan kemajuan teknologi yang ada sekarang ini, tak mustahil semua ini boleh dicapai dalam masa beberapa tahun saja. 

Baca juga : Cara Elakkan Jadi Mangsa Penipuan Kereta Klon

lombong bateri kereta elektrik

Masalah Kedua EV: Kereta Elektrik Untuk Bangsa Kayangan Saja? 

Apabila disebut tentang EV, dua benda akan muncul di kepala kebanyakan orang; pertama, mesra alam; kedua, mahal. Mahalnya bukan sedikit, tapi mahal ‘gila’! 

Anda boleh tengok mana-mana jenama EV yang ada dalam pasaran. Harga kebanyakannya bukan mampu milik tapi hanya mampu tengok saja. Antara yang paling murah? Harganya hampir mencecah RM160,000 iaitu model Ora Good daripada China.

Malah jenama EV paling terkenal iaitu Tesla, harga bagi Model 3 bermula RM298,000. Yang paling mahal? Model X pada harga mencecah lebih RM800,000! Harga yang terlalu mahal bagi kenderaan jenis SUV. 

Sebenarnya, harga EV memang mahal. Bukan saja di Malaysia, malah di kebanyakan negara lain. Ada sebab mengapa EV ini dijual mahal berbanding kereta berkuasa petroleum: 

1. Bahan Mentah 

Bahan utama dalam membuat bateri bagi EV ini ialah unsur nadir seperti litium, nikel, dan juga kobalt. Proses melombong unsur-unsur memerlukan kepakaran, peralatan serta sumber yang banyak. Sumber-sumber ini pula harganya tak murah! Inilah yang menjadi antara penyumbang terbesar kepada harga EV yang mahal. 

2. Tiada Pengilang/Kilang Pemasangan Di Malaysia

Hampir kesemua EV yang ada di Malaysia diimport daripada luar negara. Seperti yang semua orang tahu, kereta yang diimport ke dalam Malaysia adalah lebih mahal kerana cukai serta duti yang perlu dibayar kepada kerajaan Malaysia.

Melainkan ada pengeluar kereta yang mahu membuka kilang pemasangan di Malaysia, mungkin harga EV ini mungkin akan menjadi murah sedikit (sedikit sajalah). 

3. Teknologi 

Apabila anda membeli sebuah EV, anda bukan hanya membayar untuk bahan mentah saja. Tetapi anda juga sebenarnya membayar untuk teknologi dan kajian yang digunakan untuk menghasilkan EV. 

Anda tak boleh ambil rangka kereta biasa, pasangkan bateri dan motor selepas itu, dah siap EV. Bukan begitu! Banyak kajian perlu dilakukan untuk memastikan EV yang dibeli mampu berfungsi dengan baik tanpa membahayakan penumpang. Antara kajian dan penyelidikan yang dibuat termasuklah bateri, motor, reka bentuk, kuasa, dan lain-lain lagi. 

Ada banyak lagi faktor yang menyumbang kepada harga mahal EV tetapi ini merupakan antara yang mudah difahami dan anda boleh kaitkan sendiri.

Artikel Berkaitan : Tabiat Pemandu Malaysia Yang Paling Dibenci

kilang kereta elektrik

Bila Agaknya Kereta Elektrik Boleh Jadi Murah? 

Banyak teknologi, yang asalnya sangat mahal dan hanya boleh dimiliki oleh golongan tertentu kini sudah menjadi sesuatu yang boleh dimiliki pada harga yang berpatutan. Contohnya? Kereta itu sendiri. Dahulunya hanya dibeli oleh orang kaya, kini boleh dibeli oleh hampir semua orang. 

Maka, tak pelik pun jika satu hari nanti EV ini boleh menjadi kereta yang berpatutan dan boleh dimiliki oleh hampir semua orang. Sekarang ni harganya mungkin mahal kerana teknologi yang ada pun masih lagi baharu. 

Namun, teknologi EV akan makin berkembang dan tak mustahil selepas ini, lebih banyak EV yang akan dikeluarkan. Yang lebih murah dan berpatutan untuk dibeli oleh orang ramai. 

Maka, selepas ini kebergantungan masyarakat dunia kepada kereta berkuasa petroleum juga boleh dikurangkan nanti. 

Tahun ini juga, kerajaan Malaysia telahpun meluluskan pemotongan cukai jalan dan juga duti eksais import bagi semua EV dalam bajet 2022. Ini menjadikan harga EV di Malaysia boleh jadi murah sedikit dengan pemotongan yang dibuat oleh kerajaan ini. Lagi mudah sekarang beli kereta di Carsome!

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge