Setiap kali membeli barang keperluan dapur atau makanan, sudah menjadi kebiasaan untuk memeriksa tarikh luputnya. Biasanya asal belum sampai tarikh yang tertera kita akan yakin untuk membeli.
Beli roti, beli biskut, beli susu, mahupun biskut, mesti ada tarikh luputnya. Ada yang letak manufacturing date juga.
Perasankah anda akan label tarikh luput pada produk makanan dan minuman yang mencatat “Baik Sebelum” (Best before) “Guna Sebelum” (Use by)?
Sebenarnya terdapat perbezaan di antara dua ini yang tertera ini.
Label tarikh luput digunapakai untuk produk-produk yang mudah rosak seperti makanan dan minuman, ubatan, kosmetik, bahan letupan, tayar, bateri dan macam-macam lagi.
Namun di sini, kita akan fokus kepada makanan dan minuman sahaja. Sebenarnya ada perbezaan pada kedua jenis label tarikh luput ini.
Kita tidak seharusnya mengambil ringan akan hal ini kerana ada sebabnya makanan ini dilabel sebegitu.
Baca juga : Rahsia Sebab Apa Penutup Botol Mineral Berbeza Warna?
Guna Sebelum (Use by)
Tarikh yang tertera sebagai “Guna Sebelum” ialah akhir sesuatu produk itu “selamat” untuk dimakan.
Kebiasannya ianya digunakan pada produk makanan yang cepat rosak dan tidak perlu simpan lama seperti daging, susu, kek, roti, telur dan sebagainya. Bagi produk makanan yang dilabel sebegini haruslah di buang serta merta selepas tarikh yang dinyatakan.
Baik Sebelum (Best Before)
Tarikh untuk label “Baik Sebelum” menunjukkan sifat atau kualiti produk tertentu sehingga tarikh yang dinyatakan.
Selepas pada tarikh yang dinyatakan pada bungkusan itu, produk itu sudah tidak boleh dijual kerana berkurangnya kualiti seperti kehilangan kesegaran, tekstur, aroma, rasa dan nutrisi asalnya.
Tetapi ini tidak bermaksud makanan itu tidak lagi selamat untuk dimakan.
Kita sebagai pengguna boleh menilai sesuatu produk makanan itu rosak atau tidak dengan melihat pada perubahan rupa (berkulat, berlendir, keladak, pembentukan lapisan cecair…) warna (berubah dari yang asal), bau (tengit disebabkan oksidasi) dan rasa (tengit, masam…) dari yang asal disebabkan oleh berlakunya tindakbalas kimia pada produk berkenaan.
Sekiranya terdapat perubahan ini, maka kita seharusnya membuang terus produk ini.
Tip untuk memanjangkan jangka hayat produk:
Simpan di dalam peti sejuk (freezer atau chiller).
Suhu yang rendah melambatkan proses tindakbalas kimia bahan dalaman produk, juga memperlahankan pertumbuhan kulat dan aktiviti bakteria perosak.