Pada hari Ahad, 21 Jun 2020 nanti, sekali lagi kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa di langit Malaysia dan Asia Tenggara.
Fenomena ini berlaku selang 6 bulan selepas kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana matahari pada 26 Disember 2019 lepas.Gerhana Matahari kali ini adalah yang terakhir kita akan dapat saksikan dalam masa terdekat. Selepas ini kita terpaksa menunggu 3 tahun, iaitu 20 April 2023 untuk dapat menyaksikan sekali lagi lintasan bayang-bayang Bulan merentasi tanahair kita. Oleh itu jangan lepaskan peluang ini!
Apakah jenis Gerhana Matahari kali ini?
Gerhana kali ini dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa. Ia bermaksud hanya sebahagian daripada bentuk piring atau jasad Matahari akan terlindung oleh Bulan.
Di negara-negara seperti Afrika tengah, semenanjung Tanah Arab, Pakistan, India, Nepal, China dan Taiwan, penduduk di sana akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin.Di bawah ialah simulasi pergerakan Bulan di hadapan Matahari dari Kuala Lumpur nanti.
Di Malaysia, secara amnya ia akan bermula sekitar jam 2:30 petang dan tamat sekitar jam 5 petang bagi anda di Semenanjung. Bagi di Sabah pula, ia bermula sekitar jam 3 petang dan tamat sekitar 5:30 petang. Waktu kemuncak gerhana akan berlaku antara jam 3:50 hingga 4:30 pm bergantung kepada lokasi.
Di bawah ialah peta gerhana bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, serta Brunei. Bagi anda di Singapura, waktunya adalah hampir sama dengan Johor Bharu.
Nombor yang dipaparkan itu menunjukkan peratusan piring Matahari yang akan terlindung. Waktu yang dipaparkan ialah waktu kemuncak gerhana. Peta ini merujuk kepada ibu negeri sahaja. Jika anda berada berhampiran, waktunya ialah lebih kurang sama. Rujuk link peta janaan Xavier M. Jubier di atas untuk waktu yang lebih spesifik dengan lokasi anda.
Lokasi terbaik untuk melihat gerhana ini ialah di mana-mana kawasan yang boleh nampak Matahari! 2 jam 30 minit. Maka, pastikan laluan Matahari di langit dari kawasan anda itu tidak ada halangan seperti bangunan, bumbung atau pokok! Seeloknya carilah kawasan yang lapang.
Jika anda mahu lihat peratusan gerhana yang paling banyak, Kudat di Sabah adalah antara lokasi yang paling baik. Di sana, hampir 37% Matahari akan terlindung!
Disebabkan gerhana kali ini, tak sampai separuh piring Matahari yang terlindung, maka tidak banyak perubahan yang dapat dilihat berbanding gerhana cincin yang lepas. Langit tidak akan menjadi ‘mendung’. .
Suhu kekal panas seperti biasa. Namun perkara yang harus kita buat ialah melihat kesan imej Matahari yang terhasil dicelah-celah daun pokok atau lubang-lubang pada kertas (kaedah lubang pin). Kita akan nampak bentuk Matahari itu berubah menjadi ‘sompek’ atau tergigit pada satu sisinya
Gerhana kali ini berlaku setelah kita tamat mengharungi 3 bulan PKP dan PKPB bagi memutuskan rantaian Covid-19. Alhamdulillah sekarang kita sudah masuk dalam fasa PKPP.
Disebabkan 21 Jun kita masih baru bermula PKPP, dan penjarakan sosial serta acara yang melibatkan orang ramai masih belum boleh dibuat, maka ramai agensi dan orang perseorangan akan melakukan cerapan gerhana dan melakukan strim atau live menerusi facebook atau youtube, dari lokasi masing-masing.