Muzium Adat Negeri Sembilan

Negeri Sembilan, memang dikenali dengan Negeri yang banyak mengamalkan adat. Kali ini kita ke Negeri Sembilan bersama Tourism Malaysia Negeri Sembilan. Menerokai  negeri beradat di Kembara Cuti-Cuti 1Malaysia Negeri Sembilan.

Sangat menarik jika dapat mengetahui dan mempelajari sejarah dan adat di Negeri Sembilan ini. Tradisi Tumbuk Kalang, Cempogho, Mengocha dan membuat kuih kesirat sudah tentu sesuatu yang cukup menarik.

Ke Jelobak ke Jolobu,
Tuai Padi tigo tangkai,
Kalau kono komat Jolobu,
Tak mati badan meghasai.

Gurindam dulu-dulu jangan ponah dipotikai,
Tak tahu tanyo dulu jangan goma memandai-mandai..

Pernah dengar bait-bait lagu Gadis Jolobu dari W.A.R.I.S yang berduet dengan Dato’ Hattan? Dari lirik lagu itu pun sebenarnya mempunyai pelbagai cerita. Lagu yang menceritakan serba sedikit tentang suku, adat dan budaya di Negeri Sembilan.

Tepak Sirih
Tepak Sirih pembuka kata

Jika dilihat pada masa sekarang, ramai anak muda Negeri Sembilan yang tidak mengetahui mereka dari suku mana. 12 suku di Negeri Sembilan adalah:

Tanah Datar
Batu Hampar
Seri Lemak (Solomak Minang)
Anak Melaka
Mungkal
Payakumbuh
Seri Melenggang
Tigo Batu
Tigo Nenek
Anak Aceh
Batu Belang
Biduanda

Suku Biduanda dikatakan yang yang terawal mendiami Negeri Sembilan ini. Orang-orang Sumatera dari Tanah Minangkabau datang ke Negeri Sembilan yang kemudiannya berkahwin dengan suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. 

Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Kemudian, datanglah orang-orang dari luar dan membentuk suku-suku mereka di Negeri Sembilan.

Muzium Adat

Negeri Sembilan ini sememangnya banyak cerita dari segi adat. Sehubungan dengan itu, diwujudkan Muzium Adat yang merupakan muzium pertama di negara kita bagi menghimpunkan adat dari pelbagai etnik di Malaysia. Muzium Adat di bawah Jabatan Muzium Malaysia ini terletak di Kuala Klawang, Jelebu kira-kira 36 km dari Bandar Seremban.

Muzium ini ditubuhkan pada tahun 2005 dan dirasmikan pada 2 Februari 2008 iaitu pada hari sabtu bersamaan 24 Muharram 1429 hijrah.

Muzium ini turut mengkhaskan satu segmen khusus tentang Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri beradat.

Galeri Aras Bawah – Pengenalan Adat di Malaysia
Galeri ini menyentuh secara umum tentang pengenalan, definisi dan konsep adat, kategori adat serta masyarakat beradat pelbagai kaum di Malaysia.

Adat Naik ke Rumah
Adat Naik ke Rumah

Galeri Aras Satu – Kitar Hidup
Paparan tentang adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di Malaysia serta muzik sebagai manifestasi adat.

Adat Berkhatan
Adat Berkhatan
Adat Melenggang Perut
Adat Melenggang Perut
Adat Menaikkan Tiang Seri
Tiang Seri Rumah

Galeri Aras Dua – Tradisi Intelektual / Kerajaan dan Kuasa
Aras ini mempamerkan tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat serta institusi Kesultanan Raja-raja Melayu.

Alat Kebesaran Diraja
Alat Kebesaran Diraja
Singgahsana Agung
Singgahsana Yang Dipertuan Agong.

Galeri Aras Tiga – Adat Perpatih
Merupakan segmen khusus tentang adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak di Negeri Sembilan dan keutuhan Adat Perpatih dari sudut struktur sosial.

Kerajaan
Ketua Adat di Negeri Sembilan
Undang di Negeri Sembilan
Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Sesuatu yang unik di Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai pelbagai istilah atau nama yang mempunyai tugas dan peranan masing-masing di dalam adat dan pemerintahan. Contohnya Luak. 

Luak berundang terdiri daripada Luak Jelebu, Johol, Rembau dan Sungai Ujong sementara luak-luak ini dipanggil luak berundang kerana ketua adat di luak tersebut dipanggil atau digelar Undang. Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin inilah yang akan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Kewujudan Muzium Adat di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan adalah bersesuaian dan bertepatan dengan identiti Negeri Sembilan sebagai “Tanah Beradat”.

Pantun Adat

Ibu adat muafakat
Bapa adat berani
Adat yang bersendi hukum
Hukum bersendi kitabullah
Diuca dipakai turun temurun
Turun dari istana yang tinggi
Datang dari balai nan panjang
Diterima dek kebulatan
Tua muda seia sekata
Di ulunya di air segopong selubuk
Ke hilirnya di pulau nan berdindingan
Merata ke laut lapih
Tiba ke perantauan
Ditamui dek orang banyak
Kembang biak sana sini
Mengelak tak ada
Menepih jauh sekali

Sesungguhnya, banyak yang dapat dipelajari dan diketahui di Muzium Adat ini. Bukan sahaja adar orang Melayu, tetapi bangsa yang lain juga seperti Cina, India, Kadazan, Dusun dan lain-lain lagi. Bagi yang ingin mencari kisah adat perpatih dan Negeri Sembilan Darul Khusus, disarankan untuk ke Muzium Adat ini.

Hari dan Masa Lawatan:
Dibuka pada setiap hari dari pukul 9.00 pagi – 5.00 petang.
Tutup pada Cuti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.

Bayaran Masuk:
Percuma

Alamat:
Muzium Adat Jabatan Muzium Malaysia
196, Jalan Dato’ Umbi,
71600 Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel: 06-613 6586 / 6621
Fax: 06-613 6664

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge