sindiket cukai Malaysia

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), LHDNM ingin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan modus operandi sindiket scam seperti berikut:

Modus Operandi Penipuan Mengaitkan Nama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Kes Tunggakan / Pelarian Cukai

  • Mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan. Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank bukan milik LHDNM;
  • Mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDNM atau pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan.
Operator Palsu

Pelarian Cukai, Jenayah dan Penggubahan Wang Haram

Mangsa dihubungi kononnya mangsa terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan pengubahan wang haram. Sehubungan itu akaun bank milik mangsa akan disekat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ atau ‘pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)’ atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bertujuan untuk menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa.

Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.

Lawatan Pungutan / Audit / Siasatan Cukai

Mangsa menerima kunjungan ‘pegawai LHDNM’ kononnya untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai. Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan kononnya mangsa telah salah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ‘baki cukai tambahan’ yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik LHDNM.

Keuntungan Penjualan Saham

Mangsa menerima surat atau e-mel memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti perdagangan saham dengan salah satu syarikat pelaburan dan dikehendaki membuat bayaran tunggakan cukai berdasarkan arahan yang diberikan oleh sindiket penipuan.

Palsu LHDN

Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar

Mangsa menerima e-mel memaklumkan bahawa mangsa mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDNM. Mangsa diminta untuk klik pada pautan yang disediakan di dalam e-mel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuklah kata laluan perbankan internet mangsa kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh LHDNM.

Palsu cukai

Berwaspada! Jangan Jadi Mangsa

  • Semak dengan LHDNM
    • Panggilan ke Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara)
    • HASiL Live Chat
    • Borang Maklum Balas LHDNM di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/
    • Hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan;
  • Jangan dedahkan butiran perbankan terutamanya kata laluan perbankan internet;
  • Jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan;
  • Pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDNM;
    • Bayaran Cukai Pendapatan dan Cukai Keuntungan Harta Tanah kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
    • Bayaran Duti Setem kepada Pemungut Duti Setem.
  • Jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali;
  • Jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali. Semak nombor telefon LHDNM di portal rasmi LHDNM;
  • Semak Rangka Kerja Pungutan Cukai, Rangka Kerja Audit Cukai dan Rangka Kerja Siasatan Cukai dari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Perundangan untuk mengesahkan prosedur sahih aktiviti pungutan, audit dan siasatan cukai LHDNM
  • Pastikan e-mel rasmi LHDNM menggunakan domain @hasil.gov.my.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge