Adiputra KKFC

Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri akan menyarung jersi Kuala Kangsar FC (KKFC) untuk Liga M3 musim ini.

Bekas pemain Northen Lion FC itu menandatangani perjanjian bersama KKFC selama satu musim. Menurut Mohd Faiz, tawaran diterima untuk bermain bersama KKFC dibuat sebagai menyahut cabaran baharu dalam karier bola sepaknya.

“Memang satu tekanan juga sebagai pemain senior untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan.

“Apa pun saya akan lakukan yang terbaik dan berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain muda KKFC,” katanya ketika sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian dengan KKFC di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini pada Jumaat.

Faiz Subri KKFC

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Pengurus Besar KKFC, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin; Pengurus Pasukan KKFC, Datuk Shaharol Asafali dan Pengarah Urusan Yayasan Hadi, Datuk Adi Putra selaku penaja utama pasukan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pasukannya itu sudah melengkapkan pegawai dan tenaga kejurulatihan dengan menampilkan pemain yang pernah bermain ketika era 1970 hingga tahun 2000.

Bagi pemain pula, beliau berkata pemilihan pemain fasa pertama telah diadakan pada 27 dan 28 Februari lalu dengan kehadiran 190 pemain.

Katanya, daripada jumlah itu, 46 orang telah terpilih bagi sesi pemilihan fasa kedua yang ajab diadakan pada 5 hingga 7 Mac bagi memilih 25 lagi pemain.

Mou Kuala Kangsar FC

“Antara pemain yang hadir ketika sesi pemilihan tersebut termasuklah bekas pemain Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Kita turut menguji dua pemain import masing-masing dari Ghana dan Sudan,” katanya.

Menurutnya, pasukan tersebut menyasarkan untuk layak ke Liga Perdana musim depan.

Kuala Kangsar FC Yayasan Hadi

Dalam pada itu, Adi Putra yang ditemui media menjelaskan keputusan menjadi penaja utama kerana tertarik dengan perancangan pasukan.

Bukan itu sahaja, pelakon popular itu turut dilantik sebagai duta pasukan dan berhasrat untuk turun menyaksikan setiap perlawanan KKFC yang akan berlangsung di Stadium Mini Kuala Kangsar sebagai gelanggang tuan rumah dalam saingan liga tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge