Radio Tawau

Penyampai Radio Tawau FM tampil memohon maaf kerana menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal pada hari pertama Ramadan hari ini. Mohd Safwan Junit yang bertugas menerusi ruangan Syoknya Hujung Minggu dilaporkan menyiarkan azan Maghrib pada jam 6.16 petang sedangkan waktu sebenar ialah 6.20 petang.

Dalam permohonan maaf yang dikongsikan menerusi Faceboknya, Safwan berkata, perkara itu berlaku secara tidak sengaja dan disebabkan kesilapan teknikal.

Penyampai Radio Tawau FM

“Saya, Mohd Safwan Junit, penyampai yang bertugas petang ini dalam Syoknya Hujung Minggu telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan Maghrib telah disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang.

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 petang telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.

Hal ini disebabkan oleh kesilapan teknikal dan kesilapan dirinya sendiri sekali gus mendorongnya memohon maaf. Oleh itu, saya dengan rendah diri, secara peribadi, memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan keadaan ini.

“Kesilapan ini datang dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau atau Tawau FM. Yang baik datangnya dari Allah yang kurang dari saya sendiri,”

Dalam pada itu, orang ramai memberi pelbagai reaksi di ruang komennya susulan permohonan maaf itu. Rata-rata memuji tindakan Safwan kerana mengakui kesilapan dilakukan secara tidak sengaja.

Mohd Safwan Penyampai Radio Tawau

Hukum Tersalah Berbuka Awal Kerana Kesilapan Azan di Radio

Imam al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 2/321 berkata: “Allah jadikan sebutan malam sebagai tempat atau waktu untuk makan, minum, berjima’. Sedangkan siang hari sebagai waktu untuk berpuasa.”

Berhubung orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini. Terdapat dua pendapat.

Pertama, jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.

Kedua, hukumnya tidak batal puasa. Inilah pendapat sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.

Tarjih

Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:

  • Umum nas al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 187.

  • Kaedah fiqh menyebut الاصل في كل حادث تقديره بأقرب زمان (Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir). Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.

  • Ini juga selari dengan kaedah fiqh لا عبرة بلظن البين خطؤه (Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya). Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakkan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan. 

  • Imam Malik menyatakan di dalam al-Muwatta’, 1/303:

عَنْ خَالِدِ بْنِ أَسْلَمَ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَفْطَرَ ذَاتَ يَوْمٍ فِي رَمَضَانَ فِي يَوْمٍ ذِي غَيْمٍ، وَرَأَى أَنَّهُ قَدْ أَمْسَى وَغَابَتِ الشَّمْسُ. فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ طَلَعَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ عُمَرُ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ وَقَدِ اجْتَهَدْنَا» قَالَ مَالِكٌ يُرِيدُ بِقَوْلِهِ: «الْخَطْبُ يَسِيرٌ» الْقَضَاءَ، فِيمَا نُرَى، وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.”

Baca juga : Kadar Zakat Fitrah 2022 / 1443H Seluruh Negeri di Malaysia

Ramadan Kareem

Kami tegaskan di sini bahawa dalam era moden ini, boleh dikatakan tidak ada yang tidak mempunyai jam, takwim, mahupun aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka. Maka sewajarnya kita lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:

“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199)

Justeru, kami berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Wallahua’lam.

Akhukum fillah

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

18 Jun 2017 bersamaan 23 Ramadhan 1438H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge