Dosa ialah balasan buruk bagi mereka yang melanggar hukum Allah dengan melakukan perkara- perkara maksiat.
Firman Allah di dalam Surah Al-Qasas ayat 78: Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa- dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
Manusia secara fitrahnya lebih cenderung menyembunyikan perlakuan dosa dan maksiat daripada pengetahuan orang lain kerana telah diberikan perasaan malu. Bagaimanapun, kewujudan sebahagian muslim yang menzahirkan sokongan terhadap perkara dosa dan maksiat menunjukkan realiti ummah yang sedang sakit pada hari ini.
Baginda Rasulullah telah mengingatkan kita supaya jangan berbangga dengan dosa yang dilakukan.
Sabda Baginda Rasulullah: Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah ialah di mana seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang Allah tutup darinya. – [HR Bukhari 6069].
Ada yang tanpa segan silu mendedahkan dosanya di laman sosial.
Sebagai seorang muslim seharusnya kita berasa malu di hadapan Allah yang telah memberikan kepada kita pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya apatah membalas segala nikmat tersebut dengan perbuatan dosa bahkan berbangga dengan dosa yang dilakukan mereka.
Seharusnya kita tidak sesekali berbangga dengan dosa yang telah dilakukan ataupun memperkecilkannya sehingga bercerita apa yang telah kita lakukan kepada orang lain. Itu adalah rahsia di antara kita dengan Allah.
Pada hari ini juga, ramai yang menggunakan media sosial untuk menunjuk dan menayangkan dosa yang mereka lakukan sehingga tidak ada terdetik perasaan malu dalam diri.
Ada juga dalam kalangan mereka yang merendah-rendahkan dosa dan ada juga yang mengatakan: “Bahawa itu dosa aku dan jangan sibuk nak jaga tepi kain orang.” Ungkapan ini merupakan ungkapan orang yang sombong di hadapan Allah.
Baginda Rasulullah mengingatkan kita akan dosa walaupun ia kecil. Sebagai seorang mukmin, adalah perlu untuk merasakan ia besar kerana dosa itu merupakan satu perkara yang dimurkai Allah.
Baca juga : Rasulullah SAW Ajarkan Doa Supaya ALLAH Tutup Aib Kita
Solat adalah tiang agama… bertaubatlah kepada Allah saat melakukan dosa.
1. Segera bertaubat kepada Allah
Sebagai hamba Allah sewajibnya kita perlu sentiasa kembali kepada Allah dengan seberapa segera tanpa menangguhnya. Kata Imam Ibn Qayyim: Menyegerakan taubat kepada Allah merupakan satu kefarduan dan tidak boleh melewatkannya bahkan melewatkannya itu juga satu dosa. Sekiranya seseorang itu sudah bertaubat akan dosa yang dilakukannya maka dia perlu juga bertaubat atas kelewatan dalam bertaubat kepada Allah. – (Madarij As-Salikin 283/1)
Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 123: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Berdoalah apa juga kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Penyayang.
2. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah
Firman Allah di dalam Surah Az-Zumar ayat 53: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat di atas adalah seruan untuk segenap manusia yang terjerumus dalam maksiat, baik dalam dosa kekafiran dan dosa lainnya untuk bertaubat dan kembali pada Allah.
Ayat tersebut memberikan khabar gembira bahawa Allah mengampuni setiap dosa bagi siapa saja yang bertaubat dan kembali pada-Nya. Walaupun dosa tersebut amat banyak, meski bagai buih di lautan (yang tak mungkin terhitung).
Sedangkan ayat yang menerangkan bahawa Allah tidaklah mengampuni dosa syirik, itu maksudnya adalah bagi yang tidak mahu bertaubat dan dibawa mati. Ertinya jika orang yang berbuat syirik bertaubat, maka ia pun diampuni.
3. Perbanyakkan amalan dan dekatkan diri kepada Allah
Baginda Rasulullah tidak pernah meninggalkan untuk memohon ampun kepada Allah dengan melazimi istighfar. Di dalam sebuah hadis ada diceritakan bahawa Baginda beristighfar lebih daripada 70 kali sehari.
Sabda Baginda Rasulullah: Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali. – [HR Bukhari 6307].
Ingatlah akan peringatan Allah kepada kita bahawa Allah mampu untuk membalas setiap perbuatan pelaku maksiat dalam sekelip mata seperti mana Allah hapuskan umat-umat yang terdahulu yang ingkar atas perintah Allah.
Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabuut ayat 40: Maka setiap mereka itu Kami binasakan dengan sebab dosanya (mereka sendiri), iaitu ada antara mereka yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada dibinasakan dengan letusan suara menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan di bumi; dan ada pula Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka tetapi merekalah menganiayai diri sendiri.
Kata cerdik pandai: Janganlah sekali-kali kamu menghina satu dosa kecil, sesungguhnya gunung-gunung berasal dari batu yang kecil.
(Hadi Almaghribi)
berdoa..sentiasa berdoa..sebab Dia sentiasa memaafkan..tapi janganlah diulangi lagi..betul tak?
Laila recently posted…Cara Pelaksanaan Hutang Si Mati. Ikut Faraid kah?