Site icon Geng Borak

Amalan dan Perkara-perkara Sunat Pada Hari Raya Aidilfitri

Sembahyang raya

Hari raya dalam Islam adalah hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha. Kemuncak sambutan hari raya adalah Solat Sunat Hari Raya pada paginya.

Hukum solat sunat hari raya adalah sunat muakkad iaitu solat sunat yang sangat dituntut melaksanakannya. Solat sunat hari raya dilaksanakan secara berjamaah dan menjadi syiar untuk agama Islam.

Perkataan ‘eid’ ( العِيْدُ ) diambil daripada perkataan ‘audah’ ( العَوْدة ) yang bermaksud kembali atau berulang. Mungkin kerana hari raya ini berulang dan kembali setiap tahun atau kerana berulangnya kegembiraan menyambutnya.

Takrif Fitrah dan Aidilfitri

Fitrah bererti asal kejadian atau kejadian semulajadi sesuatu benda. Dan dinamakan Aidilfitri kerana zakat fitrah diwajibkan ke atas orang Islam pada hari tersebut. Solat sunat Hari Raya Aidilfitri disyariatkan pada tahun kedua Hijrah.

Solat sunat hari raya yang pertama dikerjakan oleh Rasulullah SAW ialah solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian diikuti Aidiladha pada tahun kedua Hijrah.

Hukum Solat Hari Raya

Mazhab Syafi’e dan Maliki menghukum solat sunat hari raya sebagai sunat muakkad. Sunat muakkad bermaksud sunat yang sangat dituntut. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak ia disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.

Ibn Umar r.a meriwayatkan:

Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar r.a kesemuanya mendirikan solat dua hari raya sebelum khutbah.

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Solat Dua Hari Raya)

Perlaksanaan solat ini digalakkan secara berjemaah sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis Said al-Khudri. Tetapi, ia tetap sah jika dilakukan secara bersendirian.

Waktu Solat Sunat Raya Aidilfitri

Waktu bagi solat sunat raya aidilfitri ialah sesudah terbit matahari, lebih kurang jam 8.00 pagi waktu Malaysia (Semenanjung) sehinggalah kepada sebelum masuk waktu zohor.

Ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari daripada al-Barra’ r.a bahawa dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW berkhutbah dengan bersabda:

Perkara pertama yang akan kita lakukan pada hari ini ialah mengerjakan solat.

Oleh itu, waktu yang paling afdal ialah ketika matahari naik sekadar segalah, kerana pada waktu itu Rasulullah SAW sering melakukan solat. Di pagi hari raya disunatkan kita mandi sunat hari raya sebelum ke masjid.

Amalan Sunat Pada Pagi Aidilfitri

Pada pagi hari raya, disunatkan untuk melakukan beberapa perkara berikut:

Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan.

Lafaz niat mandi sunat hari raya Aidilfitri adalah:

نويت الغسل لعيد الفطر سنة لله تعلى

NAWAITUL GHUSLA LI I’DIL FITRI SUNNATALLILAHI TAA’LA
“Sahaja aku mandi sunat hari raya fitrah/ hari raya adha (korban) kerana Allah S.W.T. Taa’la”.

Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat.

Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma’ ulamak.

(Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 283)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim;

Nabi s.a.w. memakai untuk dua hari raya pakaian baginda yang paling cantik. Baginda mempunyai jubah khusus yang dipakai baginda untuk dua hari raya dan juga hari jumaat”.

Ia disunatkan kepada semua orang termasuk yang tinggal atau solat di rumah kerana hari raya adalah hari perhiasan (يوم الزينة).

Sebelum menunaikan solat, dianjurkan untuk menjamah sedikit juadah. Jika terdapat buah kurma, hendaklah makan dalam jumlah yang ganjil.

Disunatkan untuk pergi ke masjid dan pulang dari masjid menggunakan jalan yang berlainan.

Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bahawa:

Nabi SAW apabila keluar untuk solat hari raya Baginda tidak akan kembali (ke rumahnya) melalui jalan yang sama.

Riwayat Ibn Majah dan Sunan Ibn Majah

Pada pagi hari raya, orang yang beriman akan mandi dan memakai pakaian yang serba baharu atau yang bersih dan indah. Mereka akan pergi ke masjid melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat  handai dan saudara sesama Islam.

Mereka akan mengucapkan Salam Aidilfitri sambil berbalas-balas senyuman, ucapan tahniah dan sama-sama menyatakan rasa syukur kepada Allah atas petunjuk dan hidayah-Nya sehingga mampu menjalani ibadah puasa dengan sempurna.

Exit mobile version