Site icon Geng Borak

Amaran Waspada Sindiket Penipuan Percukaian LHDNM

sindiket cukai Malaysia

Berdasarkan maklumat yang diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), LHDNM ingin menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan modus operandi sindiket scam seperti berikut:

Modus Operandi Penipuan Mengaitkan Nama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

Kes Tunggakan / Pelarian Cukai

Pelarian Cukai, Jenayah dan Penggubahan Wang Haram

Mangsa dihubungi kononnya mangsa terlibat dengan pelarian cukai, jenayah dan pengubahan wang haram. Sehubungan itu akaun bank milik mangsa akan disekat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ atau ‘pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)’ atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa bertujuan untuk menimbulkan perasaan panik dalam kalangan mangsa.

Bagi mengelakkan semua wang dalam akaun milik mangsa dibekukan, mangsa telah diarahkan untuk memindahkan wang tersebut ke akaun bank pihak ketiga yang kononnya akan dipindahkan semula ke akaun milik mangsa apabila ‘kes jenayah’ mangsa telah selesai.

Lawatan Pungutan / Audit / Siasatan Cukai

Mangsa menerima kunjungan ‘pegawai LHDNM’ kononnya untuk memungut cukai atau melakukan audit dan siasatan cukai. Sindiket akan meminta dokumen pendapatan atau perniagaan mangsa dan memaklumkan kononnya mangsa telah salah lapor cukai pendapatan. Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran ‘baki cukai tambahan’ yang ditaksirkan ke dalam akaun bukan milik LHDNM.

Keuntungan Penjualan Saham

Mangsa menerima surat atau e-mel memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti perdagangan saham dengan salah satu syarikat pelaburan dan dikehendaki membuat bayaran tunggakan cukai berdasarkan arahan yang diberikan oleh sindiket penipuan.

Bayaran Balik Cukai Terlebih Bayar

Mangsa menerima e-mel memaklumkan bahawa mangsa mempunyai cukai terlebih bayar yang akan dipulangkan semula oleh LHDNM. Mangsa diminta untuk klik pada pautan yang disediakan di dalam e-mel palsu tersebut dan arahan akan diberikan agar mangsa mendedahkan butiran akaun bank termasuklah kata laluan perbankan internet mangsa kononnya bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dapat dibuat oleh LHDNM.

Berwaspada! Jangan Jadi Mangsa

Exit mobile version