Abang viva viral

Walaupun hanya mempunyai RM50, Azwan Omar mengambil keputusan memohon cuti kecemasan daripada majikannya di Melaka untuk ke Shah Alam bagi menyelamatkan mangsa banjir di situ.

Keputusan spontan Azwan pada Sabtu lalu menyelamatkan nyawa puluhan mangsa yang terperangkap dalam kediaman mereka, akibat apa yang disifatkan sebagai banjir terburuk di Selangor.

Antara yang diselamatkan Azwan adalah pasangan warga emas, termasuk suami yang lumpuh, dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan.

Sejak lima hari lalu, Azwan mengalas perut dengan hanya roti dan air serta tidur dalam botnya. Namun tekad beliau untuk membantu mangsa banjir tidak luntur.

azwan omar viva viral

Kisah Azwan menggunakan kereta Vivanya untuk membawa sebuah bot ke lokasi banjir di Shah Alam, berbekal hanya RM50, kini tular di media sosial.

Walaupun dijulang oleh warganet sebagai miskin wang tetapi kaya budi, Azwan tidak mendabik dada, sebaliknya bersedih memikirkan nasib mangsa yang diselamatkan dan juga mereka yang maut.

Sehingga laporan ini ditulis, 14 mayat mangsa banjir ditemui di Shah Alam dengan jumlah kematian keseluruhan Selangor setakat ini 24.

Azwan, yang kini dikenali sebagai ‘Abang Viva Viral’ di media sosial, tergerak hati untuk ke Shah Alam apabila mendapati keadaan banjir di Lembah Klang semakin memburuk, khususnya di Shah Alam.

“Ini jujur saya cakap, saya daripada Melaka hanya berbekalkan RM50, dengan RM50 itu saya beli minyak untuk bot RM20, dan RM30 saya guna untuk beli makanan seperti roti dan air untuk alas perut,” Azwan.

Baca juga : 2 Buah Al-Quran Tak Basah, Rumah Tenggelam Banjir Hulu Langat

azwan omar banjir viva

Azwan berkata kepayahan yang dilaluinya tidak boleh dibandingkan dengan penderitaan mangsa banjir. Contohnya pasangan warga emas yang terpaksa minum air paip sahaja sebelum diselamatkan.

“Ahad lalu saya ada selamatkan pasangan warga emas, suaminya lumpuh bersama dua ekor anjing. Mereka kata memang tiada bot atau bantuan yang melalui kawasan perumahan mereka.

“Bantuan tak sampai pada mereka, mereka mungkin tidak tahu nak gunakan telefon pintar dan (mereka) tiada media sosial. Mungkin juga suara mereka tak cukup kuat untuk panggil pasukan menyelamat. Jadi sebelum bantuan tiba, mereka hanya minum air paip sahaja,” kata Azwan.

Azwan berkata setiba di lokasi banjir Sabtu lalu, rasa sedihnya menebal apabila melihat sekumpulan mangsa duduk dalam kesejukan di bumbung rumah yang digenangi air, menunggu bantuan.

Paling menyayat bagi Azwan ialah melihat seorang ibu yang baru bersalin meredah banjir bersama bayinya.

“Itu yang paling saya tak boleh lupa. Masa saya selamatkan ibu itu, tak silap saya dia baru lepas bersalin dan dua hari keluar hospital dengan bayinya.”

abang azwan VIVA

Azwan menyaksikan pelbagai keadaan lain yang menyedihkan, khususnya reaksi ahli keluarga yang terkandas apabila dimaklumkan tidak semua mereka boleh diselamatkan sekali gus.

“(Kita) boleh bayang perasaan mereka yang terpaksa berpisah dengan keluarga, sebab kami kena selamatkan wanita, warga emas, dan kanak-kanak dulu. Jadi bayangkan isteri risaukan suami yang masih berada di lokasi banjir. Sampai ada yang dah siap-siap salam minta maaf,” ujarnya.

Usaha Azwan yang bekerja sebagai operator mesin, menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam dengan hanya berbekalkan RM50, mendorong orang ramai menderma wang kepadanya. Namun dia keberatan menerima sumbangan itu, malah menggunakan sebahagian besar wang itu untuk menderma kepada pelbagai NGO yang turut membantu mangsa banjir.

Sebahagian wang itu juga diberikan kepada mangsa banjir yang lebih memerlukan.

“Saya datang nak tolong dengan ikhlas tak harap apa-apa pun, saya pun tak minta untuk jadi viral sampai macam ni, orang masuk dalam internet semua. Jadi sumbangan yang saya terima itu saya akan salurkan semula kepada mangsa banjir,” Azwan.

-FMT-

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge