Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan BUDI MADANI yang akan dibuka mulai 28 Mei 2024.
Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.
Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu adalah seperti berikut:
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia;
- Memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun;
- Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif;
- Pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.
Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).
Kriteria kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi adalah seperti berikut:
- Pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
- Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
Permohonan awal untuk BUDI Madani menjelang pertengahan Jun 2024
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun. Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima bantuan pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024, dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.
Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.
Baca juga : Identiti Digital Nasional 2024
BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.
Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI, sila layari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat [email protected]. Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.