Umum mengetahui beberapa negeri di Malaysia telah dilanda bencana banjir teruk sejak hujung minggu lalu. Ribuan orang terpaksa mendiami pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran dari air yang terlalu tinggi hingga menenggalamkan rumah.

Keadaan tersebut menyebabkan banyak kemusnahan dan kerosakan harta benda yang ditinggalkan di kediaman termasuklah kereta, motor, perobot peralatan elektrik dan juga elektronik.

Bahan bercetak seperti al-Quran juga tidak terkecuali dan turut rosak akibat terkena air. Namun berbanding bahan bercetak lain yang boleh terus dibuang, naskah al-Quran atau helaian yang mengandungi ayat al-Quran yang rosak mempunyai kaedah dan tatacara pelupusan sendiri mengikut hukum syarak.

Ini kerana setiap umat islam wajib menjaga dan memuliakan kesucian al-Quran meskipun ia sudah usang ataupun rosak.

Gambar ihsan Maziatul Syima Rusly

Menerusi Twitter, bekas Menteri Agama, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad memaklumkan mereka yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh menghantar al-Quran yang rosak ke Darul Kalam.

Darul Kalam yang terletak di bawah penjagaaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terletak di Raudhatul Sakinah di Taman Selasih, Kuala Lumpur. Pusat Pelupusan Al Quran Darul Kalam, Kuala Lumpur di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Raudhatul Sakinah, Taman Selasih.03-22749333 sambungan 1410.

Bagi memudahkan orang ramai untuk melupuskan al-Quran rosak, lapuk atau dicemari najis, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tampil dengan ciptaan khusus itu mesin Relau Pelupusan Al-Quran (R-Paq).

Ia berupaya melupuskan 100 kilogram helaian mengandungi ayat al-Quran dalam tempoh lapan jam, satu jumlah yang efisyen dengan tangki khas untuk menyimpan debu selepas dibakar.

Artikel berkaitan : Hukum Membaca Al Quran Dalam Handphone Tanpa Wuduk

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan orang ramai mengubungi Pejabat Agama Islam berdekatan bagi mendapatkan khidmat nasihat kaedah pelupusan al-Quran yang rosak akibat banjir. Jakim memaklumkan antara kaedah pelupusan adalah dengan cara membakar.

Al-Quran yang rosak dan berkenaan juga boleh dibakar di tempat yang bersih sebagaimana ijtihad Saidina Uthman bin ‘Affan dan pandangan ulama Syafi’iyyah.

Abu al-Quran tersebut kemudian dikumpulkan lalu diuruskan dengan:

  1. Ditanam di tempat yang tidak dilalui bagi mengelakkan ianya dipijak atau
  2. Dibuang ke sungai/lautan yang mengalir airnya

Baca juga : 2 Buah Al-Quran Tak Basah, Rumah Tenggelam Banjir Hulu Langat

Perkara sama sebelum ini pernah dijawab oleh Dr Zulkifli pada tahun 2015, sewaktu beliau masih menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi laman tersebut, beliau memaklumkan kaedah ini juga terpakai untuk al-Quran yang rosak, terkoyak dan usang.

Selain itu, ia juga diguna pakai untuk sebarang kitab-kitab hadith atau agama yang mengandungi nama Allah yang perlu dimuliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Semoga jawapan ini dapat menyelesaikan persoalan orang ramai tentang kaedah pelupusan mushaf yang rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air dalam tempoh masa yang tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge