Site icon Geng Borak

GSC, TGV, MBO Rayu Buka Operasi #ReopenCinemas

Reopen cinemas

Pengusaha menggesa kerajaan membenarkan pawagam dibuka semula dengan menggunakan tanda pagar #reopencinemas di media sosial.

Difahamkan, pawagam GSC, TGV dan MBO menggunakan tanda pagar dalam hampir semua catatan media sosial mereka.

Ia menyusul rayuan Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) kepada kerajaan untuk membenarkan pembukaan semula pawagam, sejak ia ditutup Januari lalu akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Tahun lalu, ia ditutup selama sebulan dan dibuka semula sehingga persatuan itu mengumumkan penutupan mulai November lalu.

MAFE menerusi kenyataan menekankan pawagam masih tidak dibenarkan beroperasi, ketika perkhidmatan lain seperti spa, gim dan kasino dibuka semula.

“Di negara jiran dan maju lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Korea serta Jepun, panggung wayang dibenarkan beroperasi. India, yang baru saja membuka pawagamnya pada Isnin, turut melakukannya pada kapasiti 100%.”

MAFE berkata, penutupan pawagam menyebabkan pengusaha kehilangan sehingga 90% pendapatan tahun ke tahun dan kerugian lebih setengah bilion ringgit pada tahun lalu saja.

Katanya, ia menyebabkan kehilangan pekerjaan, lebih 25% pawagam ditutup selama-lamanya dan pengecilan operasi yang ketara untuk semua pengusaha.

“Ini bukan lagi krisis bagi industri pawagam; ia kini berkembang menjadi bencana kewangan yang mungkin menjejaskan ribuan pekerjaan dalam rantaian bekalan lebih besar, termasuk organisasi kecil dalam sektor pembuatan, logistik, pembersihan, peruncitan, makanan dan minuman.”

Menurutnya, pengusaha pawagam tertinggal daripada bantuan yang disalurkan kepada industri kreatif.

“Sehingga kini, pengusaha pawagam belum mendapat manfaat daripada pakej kewangan atau rangsangan lain berjumlah RM325 juta yang diperuntukkan untuk industri kreatif oleh kerajaan.”

Katanya, walaupun pengusaha pawagam mematuhi peraturan ketat Covid-19 dan melaksanakan langkah untuk memastikan keselamatan panggung serta pelanggan, mereka masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan pembukaan semula pawagam.”

Exit mobile version