doa ilmu amalan seharian

Disamping kewajipan kita di dalam menuntut ilmu, adalah menjadi suatu tanggungjawab kita juga untuk mengamalkan serta mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari. Kita tidak perlu untuk menunggu sehingga sesuatu ilmu itu banyak untuk mengamalkannya, Amalkanlah setiap ilmu yang kita sudah mempelajarinya meskipun sedikit asalkan kita berusaha dan ikhlas dalam mengamalkannya.

Antara cara kita mengamalkan sesuatu ilmu yang telah dipelajari itu adalah dengan mengajarkannya atau berkongsi dengan orang lain.  Pepatah arab pernah mengatakan bahawa:

الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ

Maksudnya:

“Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”

Maksudnya, sebesar mana pun sesuatu pohon itu, tetap tidak dapat memberikan manfaat kepada sesiapa pun sekiranya pokok tersebut tidak menghasilkan dan mengeluarkan buah. Begitulah juga perumpamaannya dengan ilmu. Sehebat mana atau setinggi mana ilmu seseorang itu, tetapi kalau tidak diamalkan atau perkongsikan samalah seperti pohon yang tidak berbuah.

Ilmu Al Quran

Amal Adalah Buah Daripada Ilmu

Syeikh Abdurrahman bin Qasim rahimahullah juga pernah mengatakan bahawa:

“Amal adalah buah daripada ilmu. Ilmu itu ada dalam rangka mencapai sesuatu yang lainnya. Ilmu diibaratkan seperti sebuah pohon, sedangkan amalan adalah seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama Islam seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih buruk keadaannya daripada orang bodoh.”

Oleh itu saudara, amalkanlah sesuatu ilmu walaupun sedikit kerana ia pasti akan membawa keberkahan dalam hidup kita. Begitu juga, janganlah kita meninggalkan ilmu yang telah kita pelajari kerana lambat laun ilmu itu pasti akan hilang dan lari meninggalkan kita. Sebaliknya, genggamlah ilmu itu dengan kuat, nescaya ilmu itu pasti akan memberi manfaat kepada kita baik di dunia, mahupun di akhirat.

Baca juga : Tiada Amalan Garpu Tala, Bibiliomancy Atau Istikharah Dalam Al Quran

doa dan amal ilmu

Akhir sekali, marilah bersama-sama kita mengamalkan doa yang pernah dibacakan oleh nabi s.a.w yang berbunyi:

” Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima”.

(Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Doa ini pernah dibacakan oleh nabi s.a.w selepas selesai menunaikan solat fardu subuh. Mudah-mudahan kita dikurniakan kita ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, amalan yang diterima serta diberikan kekuatan untuk mengamalkan setiap ilmu yang telah kita pelajari sehingga akhir hayat kita, allahumma amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge