Site icon Geng Borak

Kekayaan Melimpah Ruah Berlaku Di Akhir Zaman

Harta emas akhir zaman 1

Rentetan keadaan manusia yang mula menunjukkan tanda bakhil dengan rezeki daripada Allah SWT, baginda Nabi SAW melalui sabdanya menegaskan pada akhir zaman juga manusia akan berhadapan dengan harta kekayaan melimpah ruah.

Manusia pada satu ketika amat mudah memperolehi harta dengan rezeki yang dikurniakan. Perkara ini bersandar kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Tidak akan tiba hari Kiamat sehingga harta menjadi banyak pada kamu, harta itu terus melimpah ruah sehingga membingungkan pemiliknya siapakah yang mahu menerima sedekah darinya. Lalu seseorang dipanggil, kemudian dia berkata, ‘Aku tidak memerlukannya.’ – Riwayat al-Bukhari (1412) dan Muslim (157)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa R.A, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sungguh akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang berjalan mengelilingi dengan membawa harta sedekah berupa emas, kemudian dia tidak mendapati seorang pun yang mahu menerimanya darinya.” – Riwayat al-Bukhari (1414) dan Muslim (1012)

Harta pernah menjadi melimpah ruah pada zaman Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, bahkan sehinggalah ada seseorang pada zaman beliau menawarkan harta sedekah tetapi tidak didapati orang yang mahu menerima daripadanya.

Baca juga : Penemuan Lombong Emas dan Tembaga di Madinah

Kekayaan Melimpah Ruah

Berdasarkan dua riwayat hadis tersebut, terdapat lima pemahaman yang diperjelaskan bagi menggambarkan melimpahnya harta sebagai tanda semakin hampirnya kiamat.

Pertama, harta yang melimpah disebabkan harta simpanan yang diperoleh oleh kaum Muslimin daripada penaklukan Syam, Rom dan Parsi.

Kedua, maksud melimpahnya harta adalah peristiwa yang terjadi pada masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang memperlihatkan banyaknya harta rampasan perang.

Ketiga, maksud melimpahnya harta merujuk kepada zaman Al-Mahdi dan Isa AS Nabi SAW bersabda maksudnya: “Demi zat yang jiwaku ini berada di tangan-Nya, sudah hampir saat turunnya Isa bin Maryam untuk menjadi penguasa yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan menghapuskan jizyah sehingga harta menjadi melimpah sehingga tiada seorang yang mahu menerima sebagai sedekah.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, al-Ahadith al-Anbiya, hadith no. 3448- Fath al-Bari 6/556)

Keempat, maksud melimpahnya harta seiring peredaran masa dan perubahan gaya kehidupan. Berdasarkan hadis permulaan tersebut, pandangan tentang mereka yang diberi 100 dinar masih lagi merungut.

Kelima, maksud melimpahnya harta disebabkan tersebarnya banyak fitnah, peperangan serta manusia disibukkan dengan hal yang menyebabkan mereka lupa untuk memikirkan harta mereka.

Baca juga : 4 Tanda Pesanan Nabi, KIta Sudah Berada Di Akhir Zaman

Walaupun begitu, pendapat yang paling hampir berkenaan perkara ini adalah ia akan berlaku pada zaman al-Mahdi dan Nabi Isa AS. Ini kerana banyaknya harta yang melimpah, dan bumi mengeluarkan keberkatan serta galiannya.

Berdasarkan pandangan di atas, terdapat beberapa perkara utama yang menjadi tunjang kepada pemahaman harta kekayaan melimpah ruah di akhir zaman. Justeru, setiap umat Islam perlu memahami dan menghayati pesanan Nabi SAW bagi menghadapi situasi akhir zaman yang penuh cabaran.

Exit mobile version