Kes melibatkan penderaan terhadap Bella bersambung 30 Mei 2022. Namun, saksi pendakwaan kelima yang dikenali sebagai Yasmin Nahar Mahmood, 19, difahamkan mengaku bahawa kecederaan lecur yang terdapat pada badan Bella adalah disebabkan tumpahan dari air termos dan bukannya dari penapis air (Cuckoo) seperti sebelum ini.

Ketika prosiding berlangsung, Yasmin dikatakan mengakui perkara tersebut selepas bersetuju dengan cadangan soalan peguam Nurul Hafidzah Hassan bahawa air yang tertumpah pada Bella sehingga cedera adalah air termos yang berada di bilik laundry (dobi) yang mana Bella bermain dengan termos tersebut sebelum kejadian.

Ketika ditanya, ketika memberi keterangan pada pihak polis di lobi kondo bahawa air yang tumpah pada Bella adalah air termos, saksi itu menjawab ‘setuju’.

Memetik laporan Kosmo, saksi tidak pasti punca berlakunya tumpahan air termos pada Bella pada kejadian 6 Mei tahun lalu itu disebabkan remaja itu dan seorang lagi penghuni yang dikenali Balqis bergaduh selepas Bella dikatakan menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik Balqis.

Bagaimanapun, ketika perbicaraan sebelum ini Yasmin pernah bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa Bella dicurah air panas sebanyak tiga kali sehari dengan menggunakan picagari dan cawan.

Menurut saksi itu, dia sendiri mengambil air panas tersebut daripada alat penapis air (Cuckoo) yang mana air itu ada mengeluarkan wap dan pernah tertumpah.

Baca juga : Bella Dalam Keadaan Baik dan Sihat – Peguam Pemerhati TMJ

Dalam prosiding sama, saksi itu tidak bersetuju dengan soalan yang diajukan oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mengatakan bahawa seorang penghuni lain yang dikenali sebagai ‘Siti’ telah melihatnya mengikat Bella dan tidak memberi remaja itu minum air.

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, saksi  mengakui bahawa dia tidak menceritakan atau memberi maklumat mengenai kewujudan kain yang dikatakan disumbat pada mulut Bella kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi esok.

Terdahulu, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella. Dan, Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge