Site icon Geng Borak

MPKAFA Ganti Ujian Bertulis UPKK, PdPR Diteruskan

Ujian MPKAFA 2021

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PFN) di negara ini khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua tenaga pengajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Dan menjelang November 2021, ramai ibubapa dan murid tertanyakan tentang MPKAFA.

Pada 23 September 2021 yang lalu, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengumumkan bahawa: 

Lanjutan itu, sukacita diumumkan bahawa Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Tahun 2021 bagi menggantikan subjek bertulis akan dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 15 hingga 30 November 2021 berdasarkan Modul Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (MPKAFA). 

MPKAFA ini terdiri daripada dua bahagian seperti berikut; 

Bahagian A : Kaedah penilaian secara lisan kepada calon berdaftar berdasarkan silibus Kurikulum KAFA JAKIM bermula dari tahun 3 hingga tahun 5. Markah yang diperuntukan ialah 75 peratus. 

Bahagian B : Penilaian di bahagian ini merangkumi penilaian terhadap nilai, sahsiah, kehadiran PdPR, hasil kerja dan komitmen calon. Markah yang diperuntukan ialah 25 peratus. 

Muat Turun Dokumen MPKAFA

Dokumen MPKAFA boleh dimuat turun oleh penilai yang akan dilantik melalui Portal Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) JAKIM pada 8 hingga 10 November 2021.

Rujuk pautan SIMPENI JAKIM di sini: https://simpeni.islam.gov.my/

Sesi libat urus bersama agensi pelaksana KAFA di setiap negeri berkaitan pelaksanaan MPKAFA akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan. JAKIM ingin menegaskan bahawa, perubahan ini tidak akan menjejaskan persediaan dan tahap penguasaan murid-murid kepada subjek yang dipelajari.

Exit mobile version