Kumpulan pertama 298 bakal jemaah haji Malaysia musim 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci pada 4 Jun menerusi penerbangan Saudi Airlines (SV 5635).

Pesawat dijadual berlepas pada jam 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada jam 4.55 petang waktu Arab Saudi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan dan memberi kata-kata semangat serta nasihat kepada jemaah haji Malaysia di Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick, KLIA hari ini.

“Sebagai satu Keluarga Malaysia, saya meminta para jemaah haji yang akan menunaikan rukun Islam yang ke lima ini agar dapat mendoakan Malaysia terus berjaya, aman damai dengan kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang berkekalan,” katanya.

Baca juga : Sindiket Badal Haji, Dah Tahun 2020 Tak Usahlah Tipu dan Cari Mangsa Lagi

Majlis juga dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Idris dalam pada itu meminta semua jemaah haji untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan berhati-hati supaya tidak terkesan dengan jangkitan C0VID-19 atau penyakit berjangkit yang lain semasa berada di Tanah Suci.

Para jemaah haji juga dinasihatkan agar tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas kerana pada ketika ini adalah musim panas di Arab Saudi dan suhu boleh mancapai kepada 50 darjah celsius.

Baca juga : Kenapa Kiswah Kaabah Dinaikkan 3 Meter Bila Tiba Musim Haji?

Sementara itu TH berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bersetuju meneruskan semula projek ‘Makkah Route’ untuk memudahkan proses pra pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam di KLIA.

Para Jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini akan menjimatkan masa semua jemaah haji.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge