Site icon Geng Borak

RM10,000 KWSP One Off : Antara Harapan dan Kekecewaan

Asyraf Wajdi Kwsp

Dulu masa kami perjuangkan awal lagi isu pengeluaran KWSP ini, macam-macam juga tohmahan dan perlian dilontarkan bahkan ada yang mengaitkan dengan Hikayat. Namun apabila Menteri Kewangan akhirnya akur dengan memperkenalkan i-Sinar dan i-Lestari, ramai pula yang claim kredit.

Kali ini apabila kami perjuangkan i-Citra bukannya kerana nak popular tetapi harapan jutaan rakyat terutamanya dikalangan M40 ke atas yang amat terkesan akibat pendapatan yang terjejas dan bantuan yang amat minima sehinggakan mereka buntu untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat pelbagai komitmen bulanan yang banyak tertunggak.

Hujah kami, berilah peluang kepada golongan ini untuk membuat pengeluaran kali TERAKHIR bagi memulakan kehidupan pasca pandemik sekaligus mampu memangkin pertumbuhan ekonomi dengan merancakkan aliran tunai dalam ekonomi.

Pada masa sama Kerajaan sudah boleh menyediakan pelan khas bagi membina kembali tabungan rakyat yang juga penting untuk simpanan hari tua nanti. Antaranya termasuklah dari segi meningkatkan komitmen caruman, memperluaskan peluang pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk luar negara dll.

Saya dan teman-teman Pemuda UMNO Malaysia mendengar dengan penuh minat dan harapan yang Belanjawan 2022 yang dibentangkan kelmarin bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara yang ramai rakyat di luar sana dambakan.Analisa awal dan perbincangan bersama-sama teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia umumnya Bajet 2022 agak “MENYELURUH DAN OPTIMISTIK”.

Jumlah anggaran perbelanjaan keseluruhan bagi tahun 2022 adalah RM 332.1 billion menjadikan ianya adalah tertinggi dalam sejarah negara. Rumusan awal ini adalah berdasarkan pemerhatian mengenai program-program dan peruntukan untuk kumpulan-kumpulan sasar yang disebut secara spesifik oleh YB Menteri Kewangan.

Baik anak muda, penjawat awam, pekerja-pekerja, pengusaha perniagaan, Ibu dan wanita, belia dan kanak-kanak dan banyak lagi. Sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa #TuntutanRAKYAT yang kami perjuangkan tidak dipenuhi, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa #TuntutanRakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk Moratorium tanpa faedah.

Baca juga : i-Citra RM10,000 One Off Bakal Dilaksana? Ini Antara Senarai #TuntutanRakyat

Namun antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu Pengeluaran Simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh Kerajaan dalam pembentangan kelmarin. Apakan daya, walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP.

Pun begitu, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO tidak boleh “lepas tangan”. Dokumen- Dokumen Belanjawan 2022 termasuklah Laporan Ekonomi dan Teks Ucapan YB Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh kami secara bersama. Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah Pemerintah untuk menjayakan Belanjawan 2022 ini.

Andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklimperniagaan dan harga pengguna kelak.

Oleh yang demikian, pandangan, kritikan dan cadangan-cadangan untuk penambahbaikkan Belanjawan 2022 oleh Pemuda UMNO Malaysia akan disampaikan kepada Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen. Kami mahu manfaat sebenar dari Belanjawan 2022 akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara.

#PemudaJurubicaraRakyat
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Exit mobile version