Peribahasa Sedap Manis Jangan Ditelan membawa maksud tersirat yang tidak menjurus secara terus kepada pengambilan minuman atau makanan manis. Namun peribahasa tersebut turut menunjukkan bahawa kita perlu berhati-hati dalam mengambil minuman atau makanan yang manis. Obesiti masih merupakan masalah kesihatan awam yang paling ketara hingga hari ini.
Masalah ini wujud secara paradoks bersama kekurangan zat makanan, berat badan berlebihan dan obesiti yang semakin meningkat. Ia telah menjadi umpama wabak yang boleh digelar “globesiti” memandangkan masalah ini telah mengambil alih sebahagian besar masyarakat dunia.
Kali ini kita fokus kepada satu bahan utama minuman serta makanan kita yang berkait rapat dengan masalah obesiti. ‘Gula tambahan’ merupakan bahan penting dalam masakan dan minuman masyarakat kita dan pengambilan bahan ini secara semberono membawa kepada obesiti.
“Negara Paling Manis di Asia”
Gula tambahan, antara topik paling kontroversi diperdebatkan kerana pengambilan yang banyak mengakibatkan peningkatan tenaga berlebihan dan mengurangkan ketumpatan nutrien penting dalam diet. Lebih mudah untuk digambarkan adalah pengambilan gula tambahan adalah merupakan penambahah kalori yang tidak bermanfaat buat tubuh.
Dalam keadaan kita dicanangkan bahawa negara Malaysia adalah antara negara yang terlibat dengan masalah globesiti ini, pelbagai jenis jenama minuman bergula atau minuman dengan gula tambahan diperkenalkan kini. Berdasarkan kajian, terdapat peningkatan daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada 2019 untuk obesiti di Malaysia. Ini adalah bersamaan dengan satu dalam lima orang dewasa Malaysia, seterusnya Malaysia dikenali dengan gelaran “Negara Paling Manis di Asia”.
Amat menakutkan apabila kebanyakan masyarakat umum mengambil gula tambahan secara berlebihan tanpa mereka sedari hanya kerana mereka tidak tahu apa itu gula tambahan serta tidak sedar akan minuman atau makanan yang diambil tersebut mengandungi gula tambahan yang tinggi.
Baca juga : Pakai Baju Hitam Lebih Nampak Kurus, Fakta ke Auta?
Apa itu gula tambahan?
Gula tambahan atau gula bebas merujuk kepada monosakarida (glukosa, fruktosa) dan disakarida (sukrosa atau gula yang diletak pada meja) yang ditambah ke dalam makanan dan minuman semasa pemprosesan atau penyediaan. Ini tidak termasuk gula semulajadi dalam susu dan buah-buahan. Bukan mudah untuk mengenal pasti gula tambahan dalam makanan yang telah diproses kerana gula tersebut mungkin dilabel dengan pelbagai nama.
Gula tambahan dalam label makanan termasuk gula perang, gula tepung pembuat konfeksi, sirap jagung, dekstrosa, fruktosa, gula songsang (invert sugar), maltosa, sirap maple, molase, dan yang paling biasa antara semuanya ialah gula pasir/gula putih. Selain daripada gula pasir putih, susu pekat adalah sebahagian daripada bahan utama dalam kebanyakan minuman di Malaysia.
Satu sudu teh susu pekat manis mengandungi tiga gram gula tambahan, namun satu teh tarik yang baik memerlukan lebih daripada satu sudu teh. Penemuan daripada penyelidikan saintifik mendedahkan bahawa kira-kira 25 gram gula tambahan ditemui dalam secawan teh tarik Malaysia.
Baca juga : Lelaki Berbadan Gempal, Ini 4 Tips Untuk Bergaya Yang Mudah Dan Menarik
Apa itu Minuman dengan Gula Tambahan?
Minuman dengan gula tambahan atau lebih dikenali dengan sugar sweetened beverages (SSB) dalam carian, ditakrifkan sebagai semua bentuk minuman yang ditambah dengan gula termasuk minuman sukan, teh yang ditambah gula, minuman ringan, dan minuman pengganti elektrolit. Kalori yang terkandung dalam SSB memberikan sedikit atau tiada nilai pemakanan. Selain itu minuman ini tidak memberikan rasa kenyang berbanding makanan pepejal.
Oleh itu, pengambilan SSB membawa kepada penambahan berat badan yang tidak sihat hasil daripada jumlah pengambilan tenaga yang tinggi, namun mengandungi hanya sedikit nilai pemakanan. Ketersediaan SSB yang tinggi serta kepadatan rangkaian makanan segera pada masa kini boleh menjurus kepada pilihan gaya hidup yang kurang sihat seterusnya memberi impak negatif kepada kesihatan.
Disarankan buat semua, jadilah pembeli, pemproses dan penyedia makanan atau minuman yang bijak dengan merendahkan mengikut elaun harian pengambilan gula tambahan. Semoga masyarakat Malaysia dapat membuat anjakan paradigma terhadap gaya hidup yang lebih sihat. Oleh itu, sedap manis jangan ditelan.
Sedap Manis Jangan Ditelan, Pahit Jangan Dimuntahkan
Maksud: Sebarang bicara orang hendaklah dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum diterima atau ditolak.
Contoh ayat: Memanglah teguran itu menyakitkan hati tetapi lebih berguna daripada pujian kawan-kawan engkau yang liar itu. Kata orang, sedap manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan.