Sejak kebelakangan ini, tular aksi kurang sopan dilakukan oleh segelintir selebriti yang dilihat boleh merosakkan minda masyarakat terutamanya golongan muda dan kanak-kanak. Sibuk kejar viral sampai apa yang dikongsikan itu pun langsung tidak diambil perhatian sebaiknya.
Aksi yang boleh merosakkan pemikiran dan budaya bangsa itu kian rancak dipaparkan tanpa mempedulikan batasan. Daripada segi penyampaian atau perkongsian yang keterlaluan, lucah dan tiada nilai moral hingga mencetuskan salah faham yang melampau dalam kalangan masyarakat.
Media sosial pula dijadikan medium menyebarkan bahan-bahan yang bercanggah dengan tuntutan agama. Demi meraih populariti, ‘bad marketing’ (pemasaran murahan) juga turut digunakan untuk menagih perhatian pembeli.
Persoalannya, sejauh manakah kepedulian kita terhadap ‘fenomena’ yang berleluasa ini?
Sewajarnya tiada siapa yang patut berdiam diri berhubung perkara kini.
Impak Media Sosial
Menurut statistik dan trend media sosial yang dikeluarkan Digital 2021, terdapat kira-kira 4.2 bilion pengguna media sosial aktif di seluruh dunia.
Data terkini menunjukkan bahawa hampir 53.6 peratus populasi global menggunakan sekurang-kurangnya satu platform media sosial.
Sementara itu, dilaporkan hampir sebahagian daripada populasi dunia menggunakan media sosial. Dan rata-rata pengguna memperuntukkan waktu lebih dua jam setiap hari di platform tersebut.
Tidak dinafikan perkembangan media sosial merubah kehidupan dan cara berinteraksi dengan rakan, keluarga dan komuniti namun setiap pengguna media
Media sosial menjadi sesuatu yang bermanfaat jika digunakan dengan sebaik-baiknya. Sebaliknya ia akan menjadi sesuatu yang memudaratkan dan mendatangkan keburukan yang besar jika tidak tidak .
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Islam Malaysia (ILMAN), Dr Hamidah Mat berkata, dalam alam nilai dan budi yang semakin diabaikan hari ini, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan nilai-nilai yang baik sentiasa mendominasi media cetak, media elektronik dan media sosial.
“Makanya, mereka yang betul-betul bertanggungjawab akan memastikan apa yang dibuat, apa yang dihidangkan dalam masyarakat terutamanya dalam media sosial mempunyai nilai yang baik,” katanya.
Paling tidak, ia bukan bersifat sia-sia, jauh sekali daripada perkara yang menyalahi adab, adat mahupun susila.
“Semua orang perlu menjadi warga yang bertanggungjawab, apatah lagi bagi mereka yang berpengaruh dan terkenal. Jangan kerana mengejar ‘viral’, maruah sendiri dan nilai budi tergadai,” tegasnya yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan OUM.
Justeru, walaupun sesuatu kandungan itu untuk meraih keuntungan perniagaan mahupun untuk mendapatkan like dan tular, ia perlulah dipantau dan ditapis.
Baca juga : Ujian Itu, Tarbiyyah dari ALLAH
Viral Yang Semakin Membarah
Pelbagai anasir disebarkan melalui media sosial ini. Apa yang pasti, sesuatu yang buruk perlu dibendung serta diatasi dengan segera.
Jika tidak, ia akan memberikan naratif yang buruk, bukan sahaja kepada seseorang itu tetapi kepada bangsa, agama dan negara.
Isu-isu yang memberi impak negatif kepada rakyat dan negara perlulah ditangani segera. Antaranya berkaitan mempersendakan agama atau memperkatakan dan melakukan tindakan lucah perlulah diambil tindakan tegas.
Masyarakat perlu peduli dalam membendung perkara ini.
Cetus Ketidakharmonian
Sejak kebelakangan ini, terdapat individu dilihat cuba membuat provokasi di media sosial dengan membuat kandungan yang mencalar mahupun mengguris hati masyarakat dengan mempersendakan agama.
Memetik Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah berkata trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara Barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi.
“Trend ini kami dapati antara kesan dan pengaruh sekularisme yang menjadikan agama bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang suci,” katanya.
Beliau berkata ini menunjukkan agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression).
Realitinya, fenomena sebegini mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat. Ia perlu dihadapi dengan bijak dan segera. Bukan masanya lagi kita semua berdiam diri dengan isu masyarakat yang melampau dan keterlaluan ini.
Tindakan Tegas
Dalam perkara ini, pelbagai dimensi perlu dilihat. Ini termasuklah kecenderungan memahami sesuatu isu, mengapa dan kenapa mereka berani mencetuskan kandungan yang tidak senonoh untuk dihidangkan kepada masyarakat?
Apa yang pasti, pihak kerajaan perlu bertindak proaktif dan tegas dengan mengenakan tindakan sewajarnya bagi menangani isu ini.
Tindakan itu wajar agar tiada lagi golongan yang sibuk kejar viral, melakukan perkara yang sama semata-mata meraih populariti atau mencapai agenda tertentu.