Site icon Geng Borak

Tanda Keras Hati, Jiwa Yang Tandus

doa

Sedar atau tidak, ketandusan jiwa pada hari ini adalah suatu penyakit yang sangat ketara sekali di tengah-tengah masyarakat. Ramai orang yang susah hati, gelisah dan tidak merasakan ketenangan fikiran dalam kehidupan walaupun ia telah memiliki segala kemudahan yang dihasilkan oleh teknologi moden pada hari ini. Bahkan jutaan wang yang dimilikinya, namun kepuasan hidup masih belum lagi dapat dirasainya. Ini semuanya berpunca dari tanda keras hati, jiwa yang tandus dan mata yang tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Berapa ramai antara kita yang menjadikan ruang kosongnya untuk membaca ayat-ayat Allah SWT kecuali yang mendapat rahmatNya. Berapa ramai yang menjadikan sepertiga malam untuk sujud kepada Allah.

Punca kebaikan ialah hati yang baik. Baik hatinya, maka baiklah seluruh anggota badan iaitu kelakukan yang akan terbit darinya. Namun bagaimana pula jika hati terasa keras?

Allah pernah membandingkan hati yang keras ini seperti batu, bahkan hati yang keras boleh lebih teruk daripada batu, kerana ada juga batu yang boleh memancarkan air.

Keras Hati Tanda Sakitnya Jiwa

Imam Al-Alusi pernah mengulas dan menyebut bahawa hati yang keras ialah hati yang tidak mahu tunduk dan khusyuk dalam menerima kebenaran Al-Quran.

Namun bagaimana untuk tahu bahawa tanda hati sudah keras? Berikut lima perkara sebagai panduan.

1- Bermalas-malasan Dalam Mengerjakan Kebaikan & Ketaatan Serta Meremehkan Maksiat

Hati yang semakin keras semakin memandang remeh kepada amalan-amalan ketaatan. Seseorang mungkin berpandangan bahawa amalan-amalan ketaatan tak perlu dibuat kerana diri sudah baik dan tidaklah sejahat orang lain. Dalam situasi lain, dosa serta maksiat semakin dipandang kecil dengan alasan Allah Maha Pengampun.

2- Hati Tidak Terkesan Dengan Bacaan Ayat Al-Quran

Orang yang beriman kata Allah, apabila dibacakan kalam-kalamNya, hati akan terasa gementar, kerana takut kepada ancaman yang Allah nyatakan. Pada pesanan yang memujuk dan lembut pula, hati akan terasa tenang dan damai.

3 – Tidak Terkesan Dengan Ujian, Musibah dan Cubaan

Allah menimpakan ujian dan musibah untuk menguji manusia, tujuannya untuk manusia mengambil pelajaran dan kembali semula kepadaNya. Tetapi orang yang hatinya semakin keras, tidak bertaubat malah semakin ingkar. Allah mengingatkan dalam Surah At-Taubah ayat 126 bahawa orang-orang munafik yang diuji, mereka tetap tidak bertaubat dan tidak mengambil pelajaran.

4- Bertambah Kecintaan Kepada Dunia Dan Mendahulukannya Daripada Akhirat

Rasulullah SAW pernah mengingatkan bahawa menuju ke akhir zaman, umat Islam akan menjadi lebih lemah daripada musuh. Umat Islam juga akan ditimpa penyakit ‘wahn’ iaitu cintakan kepada dunia dan takut kepada mati.

5- Tidak Dapat Membezakan Perbuatan Yang Baik & Buruk

Dalam Islam yang halal dan haram itu jelas. Yang makruh juga ada dinyatakan. Perkara yang membawa keburukan juga hukumnya buruk. Tetapi apabila hati semakin mengeras, banyak perkara haram dihalalkan dan banyak perkara halal yang diharamkan. Umat Islam kurang berhati-hati dalam setiap tindakan, sedangkan hati-hati itu adalah sifat orang yang bertakwa.

Baca juga : Green Circle Saudi, Bila Padang Pasir Mulai Subur Menghijau

Sebagaimana manusia memiliki sifat, hati juga mempunyai sifat dan keadaan yang berubah-ubah. Adakala ia sihat, ada masa ia boleh ditimpa sakit. Hati yang sakit jika dibiarkan lama-kelamaan akan menjadi keras dan terhalang daripada cahaya kebenaran.

Itulah tanda hati sudah keras dek jiwa yang ketandusan iman. Ia perlu sentiasa dibersihkan, digilap, diservis agar degupannya akan sentiasa membuahkan iman dan ketaatan.

Exit mobile version