baju hitam 1

Pernahkah orang nasihatkan kita untuk lebih kerap pakai baju hitam dan seangkatan dengannya? Jika ada, individu itu mungkin secara berlapik ingin mengatakan bahawa anda sebenarnya adalah seorang yang gemuk!

Namun, adakah benar kepercayaan bahawa memakai baju warna ini boleh buat tubuh badan anda nampak lebih kurus? Atau ia sebenarnya hanya sekadar mitos semata-mata? Untuk mengetahui jawapannya, sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Hitam itu menawan

Kata orang, hitam itu menawan. Ya, ia adalah kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi.

Hitam adalah warna yang paling mudah dan sesuai dikenakan sebagai pakaian untuk semua orang. Tidak kira anda berkulit cerah atau berkulit gelap, ia boleh menjadi warna kegemaran mana-mana individu ekoran impak dan ilusinya terhadap penampilan anda.

keluarga pengantin baju warna hitam

Bukan sahaja ia akan membuat diri anda kelihatan menawan, pakaian dengan warna ini turut memberikan satu imej yang ‘kelas’ dan ‘elegan’ buat pemakainya.

Dalam pada itu, warna ini juga sebenarnya sangat senang dipadankan dengan pelbagai warna yang lain untuk dipakai bersama atau dijadikan aksesori.

Pakai baju hitam boleh buat anda nampak kurus?

Menurut pereka fesyen berpengalaman dari Amerika Syarikat, memakai pakaian berwarna gelap seperti hitam tidak akan buat anda jadi kurus, tapi mungkin boleh membuat seseorang itu nampak lebih kurus.

Sebabnya, warna ini mempunyai keupayaan untuk menyorokkan sebarang gangguan visual. Mata individu yang memandang anda akan teralih dari apa-apa gangguan visual pada tubuh badan anda akibat daripada kesan memakai pakaian warna ini.

Buat anda yang tertanya-tanya, berikut adalah gangguan visual yang diperkatakan:

  • Fizikal tubuh badan – lipatan lemak, ketulan atau benjolan pada kulit, selulit atau apa-apa sahaja kekurangan yang terdapat pada tubuh badan
  • Pakaian – benang longgar, butang baju senget, hujung baju tidak simetri, jahitan tidak kemas atau apa-apa sahaja kekurangan yang terdapat pada pakaian
  • Garis pakaian dalam – baju dalam, seluar dalam, innerlegging yang tersembul keluar pada pakaian di luar
  • Kotoran – peluh, makanan, minuman atau sebarang kekotoran yang terpalit pada pakaian

Dalam erti kata yang lain, warna hitam boleh menyorokkan sebarang gangguan visual yang diperkatakan di atas, termasuklah bentuk tubuh badan anda. Kesannya, anda mungkin akan kelihatan ‘slim’ di mata orang yang memandang, Seakan magis, bukan?

Apa kata sains tentang pakai baju hitam?

Persoalannya, bagaimana kepercayaan ini sebenarnya bermula?

Untuk pengetahuan anda, segalanya bermula sejak zaman Galileo Galilei lagi. Dikatakan, ahli sains terulung ini adalah orang pertama yang mempersoalkan mengapa planet Zuhrah tampak lebih besar berbanding planet Musytari, sedangkan Musytari adalah 4 kali ganda jauh lebih besar dari Zuhrah.

Dari sinilah bermulanya teori warna memainkan peranan dalam penampilan sesuatu perkara. Kemudian pada tahun 1867, Hermann Von Helmholtz telah mengukuhkan lagi teori ini dengan menggunakan gambar segi empat sama yang berbeza warna sebagai subjek kajian.

Beliau mendapati bahawa segi empat yang mempunyai warna putih dengan latar belakang hitam akan tampak lebih besar berbanding segi empat sama yang mempunyai warna hitam dengan latar belakang putih, walaupun kedua-duanya mempunyai saiz yang sama!

hitam putih

Apa sebabnya, ya?

Menurut kajian yang dilakukan oleh State University of New York, ini semua mempunyai kaitan dengan cara mata kita melihat sesuatu perkara berdasarkan warnanya. Neuron yang terdapat dalam otak kita sering kali akan memperbesarkan rangsangan cahaya yang masuk ke dalam mata kita. 

Dalam erti kata yang lebih mudah, warna yang terang akan nampak lebih besar dan warna yang gelap akan kelihatan lebih kecil.

Jadi, jika anda merupakan seorang yang berbadan kecil, mengenakan pakaian yang berwarna terang mungkin akan menampakkan anda sedikit berisi. Namun, jika bentuk tubuh badan anda sedikit gemuk, sila pakai pakaian yang berwarna gelap agar anda tampak lebih ‘slim’, okay?

Baca juga : Lelaki Berbadan Gempal, Ini 4 Tips Untuk Bergaya Yang Mudah dan Menarik

Baju hitam kurus

Tip pemakaian bagi orang gemuk

Sekarang, kita sudah tahu bahawa pakai baju hitam adalah sangat sesuai dipakai oleh orang yang berbadan gempal kerana ia akan memberi ilusi langsing kepada pemakainya. Namun, terdapat beberapa tip lain yang anda sebagai golongan chubby boleh amalkan!

Menurut pakar perunding imej MaryAnni Masarip, individu perlu berpakaian sesuai mengikut 4 kriteria penting iaitu:

  • Masa
  • Majlis
  • Tempat
  • Tujuan

Bagi individu yang berbadan besar, ini merupakan beberapa tip yang anda boleh amalkan selain mengenakan pakaian berwarna gelap seperti hitam:

#1. Jangan pakai pakaian yang ketat

Jika anda berbadan gemuk, elakkan memakai baju atau seluar yang terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan anda. Sebaliknya, cuba pilih pakaian yang agak longgar seperti oversized shirtblouse atau kaftan.

#2. Jangan pakai pakaian yang berjalur melintang

Selain itu, cuba elak dari memakai baju atau seluar yang mempunyai jalur melintang. Tidak kira jika ia berwarna gelap atau tidak, ia tetap akan memberi ilustrasi bentuk tubuh badn yang besar dan kembang. Sebaiknya, orang yang gemuk perlu memakai pakaian yang mempunyai jalur menegak dan bercorak kecil-kecil sahaja.

#3. Pilih fabrik pakaian yang sesuai

Jangan sesekali mengenakan pakaian dengan fabrik yang melekat pada tubuh seperti spandex macam yang Wolverine pakai dalam komik itu okay? Sebaliknya, pilih fabrik yang selesa seperti kain cottonchiffon atau crepe bagi memberi kesan flowing pada tubuh badan anda. 

#4. Pilih denim dengan potongan lurus

Tidak dapat dinafikan, seluar jeans atau denim kini adalah pilihan setiap individu masa kini yang gemarkan fesyen namun sukakan sesuatu yang mudah. Namun, individu yang berbadan besar tidak harus memilih untuk memakai seluar jeans yang slim fit!

Ini kerana ia akan menampakkan paha dan kaki anda yang seperti logo Michelin itu. Sebaiknya, pakai yang berwarna gelap seperti biru gelap, coklat gelap atau lebih mudah, hitam. Dan, pilih denim dengan potongan lurus bagi memberikan pengaliran udara untuk kaki anda okay!

Kesimpulannya, pakai baju hitam adalah teman yang paling istimewa buat individu yang berbadan besar kerana ia memang benar dapat membuat anda nampak lebih kurus. Jadi, jawapan kepada tajuk artikel ini adalah ya, ia adalah fakta. Hellodoktor

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge