Kerajaan Gabungan PH PN

Suka atau tidak kita perlu terima hakikat kita akan mempunyai Kerajaan Gabungan selepas pilihanraya dan bukan lagi Kerajaan Orde Tunggal sepertimana yang kita biasa alami sejak berdekad lamanya.

Sesebuah Kerajaan Gabungan tidak akan bercakap lagi soal idealisme dan agenda parti mereka tetapi lebih kepada sasaran serta bidang tumpuan bersama yang menjadi asas kompromi mereka.

Hipokrit? Soal ini tidak berbangkit kerana inilah realisme yang dipilih oleh pengundi, dalam kes Malaysia, sejumlah lebih 15 juta pengundi yang meletakkan kita pada realiti ini. Bahkan dalam dunia demokrasi yang matang dan maju, Kerajaan Gabungan ini terjadi dengan begitu biasa.

Menafikan keperluan kepada sebuah Kerajaan Gabungan sebenarnya lebih hipokrit kepada demokrasi kerana falsafah demokrasi tidak bersandarkan kepada pihak menang dan kalah tetapi lebih kepada soal majoriti dan minoriti.

Parlimen Kerajaan Gabungan

Sangat tidak wajar untuk 5 juta pengundi yang memilih PH sebagai Parti yang memiliki undi dan kerusi terbanyak dalam PRU 15 tidak mengiktiraf pecahan 10 juta pengundi yang lain yang mungkin mempunyai selera politik dan idealisme yang berbeza. Demikian juga sebaliknya.

Sejujurnya dengan interaksi langsung secara peribadi dengan semua parti, bunga-bunga perbincangan kearah Kerajaan Gabungan selepas pilihanraya pernah dibincangkan oleh parti-parti politik di Malaysia sebelum PRU 15. UMNO pernah bercakap hal ini, PAS juga tidak ketinggalan selain parti-parti komponen dalam PH. Walaupun secara idealistik ya setiap pihak mahu menang dan membentuk Kerajaan secara solo.

Cuma mungkin kerana ini realiti baru yang dihadapi oleh kita, maka kita masih gayat dan mengulasnya berdasarkan pengalaman dan idealisme lama.

Kerajaan Gabungan PH PN

Burukkah Kerajaan Gabungan ini?

Sekali lagi soalan itu tidak kena kerana Kerajaan Gabungan adalah pilihan kedua kepada sistem pemilihan yang bersifat majoritarian dan bukannya propotional. Soalan yang lebih wajar adalah, akan berjayakah Kerajaan yang terbina atas dasar gabungan selepas pilihanraya ini?

Kerajaan Gabungan Cameron-Clegg yang terbina selepas parlimen tergantung di UK pada tahun 2010 telah menggabungkan dua parti yang bertentangan ideologi iaitu konservatif dan liberal. Kerajaan ini berjaya mengimbangkan kembali ekonomi UK selepas krisis ekonomi global 2008-2010.

Oh ya, Kerajaan ini juga berjaya kekal untuk tempoh 5 tahun dan kembali bertarung selepas itu. Demikian juga Angela Merkel yang sangat tersohor sebagai pemimpin yang berjaya. Beliau meletakkan Jerman sebagai negara yang sangat maju dan berpengaruh di Eropah adalah pemimpin sebuah Kerajaan Gabungan di sana.

Oh itu orang putih? Baik bagi orang sawo matang seperti kita juga ada contoh yang sangat baik. Pernah dengar nama Jokowi? Ya, sang presiden sebuah negara yang sedang menarik perhatian seluruh dunia. Dengan pelbagai kemajuan kepada negaranya Indonesia adalah seorang pemimpin negara yang ditadbir dalam Kerajaan Gabungan.

Baca juga : Parlimen Tergantung : Apa Kesan Kepada Ekonomi Negara?

Kerajaan Gabungan Indonesia

Koalisi Indonesia Maju

Kerajaan Gabungan Jokowi, Koalisi Indonesia Maju (KIM), adalah gabungan 12 parti yang sangat bertentangan ideologi mereka. Ada yang cenderung ke kiri seperti PDI-P dan ada juga yang ke kanan seperti Golkar. Ada yang Islamis seperti Partai Bulan Bintang dan ada yang sekular seperti Partai Keadilan dan Persatuan.

Lebih menarik, Jokowi sendiri bukanlah pemimpin utama partinya PDI-P, tetapi diberi dokongan untuk mengetuai gabungan ini. Hasilnya? Indonesia sekarang menjadi destinasi pelaburan bernilai tinggi dunia dan kearah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia menjelang 2030.

Mungkin juga ada yang akan menyebut contoh yang gagal seperti Belanda dan Bulgaria misalnya. Namun sekiranya setiap pihak yang bergabung, dengan segera meninggalkan dialektika idealistik mereka yang gagal membeli kepercayaan secara majoriti pengundi-pengundi. Tumpukan terus kepada sasaran dan bidang tumpuan bersama, tidak mustahil kita juga akan berjaya.

Pengalaman bergaul dan bermuamalah langsung dengan mereka semasa mereka menjadi Kerajaan meyakinkan saya bahawa setiap pihak ini mempunyai cita-cita untuk Malaysia yang lebih baik. Syaratnya tinggalkan segera retorik yang memecah belahkan. Elakkan mencarik fabrik asas tenunan demokrasi negara ini, melebarkan titik kompromi dan segera menggembeling kelebihan masing-masing kepada sasaran yang sama.

Ini bukan masanya untuk mengangkat panji Kerajaan PH, PN atau BN. Ini Kerajaan Gabungan Rakyat Malaysia! – Tuan Kamarul Arief Tuan Soh

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge