lidah

Cuba anda perhatikan warna lidah anda. Adakah lidah berwarna merah jambu, merah pekat atau putih? Tahukah anda, warna lidah boleh jadi petanda aras kepada kesihatan anda?

Warna lidah biasanya berkait rapat dengan penjagaan mulut anda. Jika anda menjaga kebersihan mulut dengan baik dan memberus gigi sekurang-kurangnya tiga kali sehari, anda mungkin dapat mengelakkan jangkitan bakteria kepada lidah.

Cuba periksa warna lidah, adakah anda tergolong dalam kumpulan di bawah?

1. Merah jambu

Tahniah jika lidah anda berwarna merah jambu. Ini merupakan tanda anda mempunyai lidah yang sihat. Jika ada sedikit tompokan putih pada atas lidah, jangan risau, itu adalah normal.

Lidah yang sihat sepatutnya bebas daripada sebarang ulser, kesan gigi ataupun keretakan. Jika anda rasa seperti ada biji-biji kecil pada lidah anda, itu adalah papillae yang mengandungi tunas rasa anda.

Lidah merah jambu

2. Merah

Jika lidah anda berwarna merah, mungkin itu tandanya lidah anda sedang mengalami keradangan. Glossitis merupakan reaksi lidah kepada keradangan yang menyebabkan terdapat sedikit bengkak dan kemerah-merahan pada lidah. Papillae yang berada di atas permukaan lidah juga akan menjadi licin jika anda menghidap glossitis.

Glossitis mungkin disebabkan oleh luka-luka ringan pada permukaan lidah atau jangkitan kuman pada luka tersebut. Salah satu bentuk glossitis ialah geographic tongue.

Lidah anda akan dipenuhi tompokan-tompokan putih yang berbentuk seperti peta. Lidah berwarna merah juga mungkin tanda badan anda mengalami kekurangan vitamin B-12 atau asid folik.

Cuba makan makanan seperti daging, ikan, ketam dan kerang bagi mendapatkan vitamin B-12 yang cukup untuk badan. Amalkan juga makan brokoli, asparagus dan buah betik untuk tingkatkan kadar asid folik dalam badan anda.

Kuning

Jarang lidah bertukar warna menjadi kekuningan. Namun, jika ia berlaku, mungkin disebabkan oleh jaundice atau penyakit kuning. Penyakit kuning biasa menyerang bayi, lebih-lebih lagi bayi yang usia gestasinya tidak lebih daripada 38 minggu (bayi pramatang).

Kondisi ini terjadi kerana hati bayi tidak matang lagi untuk membuang bilirubin di dalam darah. Demam kuning boleh juga berlaku dalam kalangan orang dewasa. Punca utamanya ialah jangkitan pada hati seperti hepatitis atau pembentukan batu karang.

Jika anda merokok, lidah berwarna kuning mungkin merupakan tanda awal perubahan warna pada lidah anda. Lama-kelamaan, lidah perokok akan bertukar ke warna coklat gelap dan akhirnya hitam.

Ungu

Lidah berwarna ungu mungkin tanda anda mempunyai masalah jantung. Lidah ungu merupakan tanda statis darah. Ini bermaksud darah tidak dapat beredar secara normal kepada semua bahagian tubuh.

Selain itu, lidah ungu juga mungkin disebabkan oleh masalah paru-paru. Masalah ini mungkin berkait rapat dengan masalah hati. Kekurangan oksigen dalam darah akan menyebabkan warna lidah menjadi ungu kebiru-biruan.

Baca Juga : Pakai Baju Hitam Lebih Nampak Kurus, Fakta ke Auta?

maksud warna lidah

Putih

Lidah berwarna putih boleh disebabkan oleh masalah dehidrasi. Minum air yang mencukupi mungkin boleh jadi penyelesaian mudah untuk keadaan lidah berwarna putih.

Namun, kadangkala lidah berubah warna kepada putih disebabkan oleh jangkitan yis. Jangkitan kandida ataupun oral thrush merupakan sejenis jangkitan yis yang akan membuatkan warna lidah menjadi putih seperti dilapisi satu lapisan keju.

Jangkitan kandida membuatkan lidah berasa sakit dan sukar untuk menelan makanan. Satu lagi punca lidah putih mungkin disebabkan oleh leukoplakia oral (leucoplakia).

Leukoplakia oral merupakan sesuatu yang sangat biasa bagi perokok. 80% daripada perokok mempunyai leukoplakia oral pada lidah mereka.

Namun, keadaan ini tidak patut dipandang remeh kerana leukoplakia oral berpotensi menjadi tanda-tanda awal kanser.

Lidah putih

Hitam

Lidah berwarna hitam mungkin disebabkan jangkitan bakteria atau fungi. Black hairy tongue merupakan jangkitan pada lidah yang akan membuatkan lidah berwarna hitam dan berbulu. Namun, keadaan ini bukanlah kekal, ia bersifat sementara.

Walaupun keadaan ini mungkin nampak serius, sebenarnya dengan mengamalkan kebersihan mulut yang baik, jangkitan ini dapat dielakkan.

Lidah berwarna hitam juga lebih biasa dalam kalangan perokok dan akan terjadi jika anda minum terlalu banyak kopi atau teh hitam.

Jika anda nampak apa-apa perbezaan pada lidah yang membuatkan anda berasa risau, cepat-cepatlah berjumpa doktor. Pesakit kanser mulut tidak berasa sakit pada waktu awal mengalami kanser. Jumpa doktor jika luka pada mulut anda tidak pulih dalam masa dua minggu.

HelloDoctor

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge