“Saya masih tak dapat bezakan antara ‘latte’ dan ‘flat white’,” kata seorang peminat matcha berusia 27 tahun sambil tertawa, menanti pesanan minumannya.
“Jangan lupa juga yang taksub kopi,” kata rakannya berusia 29 tahun.
“Ada bezakah antara kopi segera dan kopi lain?” soalnya sambil menghirup Nescafe sejuk yang baru dibeli di kedai runcit.
Mungkin perasaan dan soalan seperti ini sesuatu yang tidak disangka oleh peminat tegar kopi ala ‘bertahap PhD’ namun, ia bukannya benda asing, cuma mungkin ada yang lebih segan untuk bertanya.
Semoga panduan mudah berikut mengenai jenis kopi paling popular boleh mengurangkan rasa stres anda jika ingin memesan minuman ini.
Espresso: Pati kopi tanpa susu atau gula. Espresso diolah dengan ‘tekanan’ pancuran air panas ke atas biji kopi yang dikisar halus.
Doppio: Espresso berganda – dua ‘sentuhan’ espresso.
Ristretto: Sejenis espresso yang lebih pekat dan kecil, juga tanpa gula atau susu. Namanya hasil singkatan ‘restricted espresso’.
Americano: Satu ‘sentuhan’ espresso dengan air ditambah untuk mencairkannya. Americano boleh dibuat menggunakan satu, dua atau tiga espresso mengikut cita rasa masing-masing.
Ini juga digelar ‘long black’, gelaran yang mula digunakan ketika Perang Dunia Kedua kerana cara askar Amerika memesan kopi itu di kafe Itali.
Latte: Espresso di dalam cawan yang ditambah susu panas atau telah distim sehingga penuh. Juga tidak bergula.
Lebih berkrim daripada macchiato atau cappuccino. Namanya dalam bahasa Itali bermaksud ‘kopi susu.’
Sesetengah latte juga dilitupi dengan sedikit buih di atas campuran espresso dan susu, cuma buihnya tidak sebanyak cappuccino.
Selalunya latte boleh ditambahkan perisa vanila, kacang hazel atau rempah ratus.
Flat white: Latte panas tanpa buih susu menjadi kelihatan lebih ‘leper’ (flat) seperti namanya.
Flat white mungkin menggunakan dua kopi atau lebih kuat perisa kopinya berbanding latte. Bagi latte, rasa berkrim lebih kuat.
Di sesetengah negara seseorang boleh memesan “three quarter flat white” iaitu flat white tetapi kurang susu.
Macchiato: Espresso yang susunya kurang daripada latte; macchiato bererti ‘bertanda’ iaitu espresso yang ‘ditandakan’ dengan susu yang distim dan tidak berbuih.
Cappuccino: Seperti macchiato, ia menggunakan satu espresso yang ditambah susu distim dan diatasnya diselaputi buih susu yang banyak. Serbuk coklat juga mungkin ditabur ke atasnya.
Jika mahu nampak lebih hebat, anda boleh cuba memesan ‘dry cappucino’ iaitu cappucino yang lebih banyak buih susu, atau ‘wet cappucino’ yang lebih banyak ditambah susu.
Pour over: Air panas dituang ke atas biji kopi yang diletakkan dalam penapis satu kon khas. Begitu juga dengan kopi drip. Biji kopi diasingkan daripada cecair sebelum diminum.
Affogato: Espresso yang dituangkan ke atas seceduk aiskrim dalam cawan.
Mocha: Latte yang menggunakan kopi lebih pekat dengan perisa coklat pahit.
Biji kopi, cawan dan larangan
Walaupun ini bukanlah senarai lengkap (terdapat juga lungo, cortado, dan breve), tetapi semua di atas adalah campuran kopi popular menggunakan biji kopi yang dipanggang khas.
Biji kopi mungkin jenis Columbian atau Brazilian Arabica atau Robusta yang semuanya dipanggang pada tahap berbeza.
Sedikit trivia mengenai kopi: pemimpin di sekitar Eropah dan Timur Tengah antara kurun ke-16 hingga kurun ke-18 pernah cuba mengharamkannya.
Di Istanbul, seseorang yang minum kopi di tempat awam boleh dihukum mati kerana pemimpin, tidak kira golongan beragama atau sekular, menganggap minuman itu menggalakkan seseorang berfikiran atau berkelakuan berbahaya seterusnya membawa kepada masalah sosial dan memupuk tindakan berbentuk hasutan.
Kemungkinan besar juga disebabkan itulah kedai kopi sering menjadi lokasi perbualan politik dan bersosial.
-FMT-