Al-Quran adalah mukjizat agung yang diwahyukan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Ia menjadi sumber rujukan umat Islam sejak ia diturunkan sehingga ke hari Kiamat. Umat Islam seluruh dunia yang jaga adab Al-Quran menjadikannya sebagai teman mereka setiap masa demi memperoleh rahmat dan kasih sayang Ilahi.
Meskipun demikian, kita seharusnya tidak boleh mengabaikan usaha untuk memahami isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan harian kita. Pada sisi lain, bagi menjadikan bacaan al-Quran itu berbekas kepada pembacanya, kita seharusnya melihat dari aspek adab-adab sebelum memulakan bacaan ataupun ketika sedang membacanya.
Al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan kepada umat Islam yang perlu dibaca dan dihayati setiap masa. Laras bahasa dan susunan ayatnya yang unik mampu dijadikan sebagai garis panduan kepada rakyat Malaysia untuk berbicara secara terus mahupun mengketik papan kekunci di telefon bimbit mahupun komputer dalam menyelusuri media sosial dengan sopan dan berbudi.
Panduan, adab ketika membaca al-Quran
Para ulama telah menggariskan adab-adab ini berdasarkan amalan mereka sendiri ketika berinteraksi dengan al-Quran. Berikut merupakan antara adab dan amalan yang bukan hanya mesti dipraktiskan dalam bulan Ramadan bahkan sepanjang hidup kita:
1. Memilih waktu yang sesuai.
Sebaik-baik waktu ialah pada sepertiga malam iaitu waktu sahur. Waktu sahur juga merupakan waktu paling terbaik untuk memohon keampunan Allah SWT dengan memperbanyakkan istighfar sebagaimana yang disebut dalam surah ‘Ali Imran: 17. Kemudian disusuli dengan waktu-waktu malam, pagi dan waktu-waktu lain pada siang harinya.
2. Memilih tempat yang sesuai.
Masjid contohnya adalah tempat yang sesuai untuk membaca al-Quran. Tempat tersebut mestilah jauh dari gangguan seperti suara bising, jeritan, cakap-cakap kosong dan senda-gurau serta jauh daripada kanak-kanak yang sedang bermain. Pilihan terbaik ialah membaca al-Quran di taman-taman yang indah lagi tenang dan cantik pemandangannya. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya membaca al-Quran di tempat yang mempunyai sedikit bising seperti dalam majlis ilmu, dalam kereta dan sebagainya.
3. Memilih kedudukan dan posisi yang sesuai.
Kedudukan yang terbaik ialah kedudukan tashahhud seperti dalam solat sambil mengadap kiblat. Kedudukan ini jelas menzahirkan sifat ‘ubudiyyah dan kehambaan seseorang kepada Allah SWT. Sekiranya penat mengubah ke posisi yang lain tetapi masih menghadap kiblat. Kita boleh berada dalam apa jua kedudukan yang dikehendakinya demi memberi penghormatan yang terbaik kepada kalam Ilahi.
4. Menjaga dan memelihara kebersihan luaran.
Kita mestilah menjaga kebersihan diri daripada berada dalam keadaan janabah, haid dan juga nifas. Kita sangat digalakkan untuk sentiasa berada dalam keadaan berwuduk agar mudah memegang dan membaca al-Quran pada bila-bila masa. Para ulama telah menfatwakan harus bagi seseorang perempuan yang ingin membaca al-Quran untuk tujuan belajar dan mengajar semasa dalam keuzuran.
5. Menyucikan anggota badan yang terlibat semasa membaca Al-Quran.
Kebersihan sesuatu bekas adalah syarat utama kepada bersihnya isi dalamnya. Jadi bagaimana mungkin bacaan dan tadabbur al-Quran itu menjadi elok dan lebih baik jika mata dikotorkan dengan memandang perkara-perkara yang haram? Telinga mendengar suara-suara kemungkaran? Lidah selalu mengumpat, memfitnah, menipu serta mengejek-ejek?
Bagaimana hati-hati dapat berinteraksi dengan al-Quran sedangkan ia terhijab dengan perkara-perkara syubhah dan juga syahwat serta perkara-perkara maksiat. Adakah kita telah dibinasakan dan dirosakkan oleh penyakit-penyakit riya’, ujub dan takabbur. Jadi bagaimana?
6. Datangkan niat dan keikhlasan yang sempurna hanya kepada Allah SWT.
Tinggalkan sekejap semua urusan duniawi sebelum mendampingi kalam tuhan agar ibadah yang dilakukan diterima dan diberi ganjaran yang setimpalnya. Amalan membaca al-Quran dan mentadabburnya yang dilakukan dengan ilmu dan kefahaman adalah satu rahmat dan nikmat kurniaan daripada Allah SWT. Dan benarlah bahawa rahmat Allah itu tidak akan diturunkan ke atas hati yang penuh dengan syubhah, penipuan dan keraguan.
7. Membaca Al-Isti’azah dan juga Al-Basmalah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat ke 98: “Oleh itu, apabila engkau membaca al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam”. Maka kita mestilah menghidupkan makna al-Isti’azah ini dan menghayatinya ketika melafazkan agar tercapai matlamatnya.
Manakala al-Basmalah pula selalu dibaca pada awal surah kecuali surah at-Taubah dan diharuskan membacanya pada pertengahan surah serta membacanya apabila bacaan terhenti dengan tiba-tiba disebabkan kecemasan.
8. Selesaikan semua urusan sebelum memberi fokus kepada bacaan.
Mana mungkin ayat-ayat yang dibaca dapat memberi kesan pada seseorang jika dibaca tanpa kehadiran hati umpama membaca al-Quran sambil duduk di tempat awam sambil memandang orang lain. Ataupun duduk di hadapan televisyen sambil mata merenung al-Quran, tetapi telinganya mendengar daripada televisyen tersebut. Ataupun membaca sambil menunggu makanan dihidangkan namun hatinya tidak sabar menunggu kehadiran makanan tersedia di hadapannya.
Baca juga : 2 Buah Al-Quran Tak Basah, Rumah Tenggelam Banjir Hulu Langat
9. Hadirkan diri agar dapat merasai kekhusyukan ketika bersama dengan al-Quran.
Cara untuk mendapat rasa khusyuk adalah dengan memerhatikan orang-orang soleh yang telah mendapat khusyuk. Ini adalah antara pentingnya jaga adab Al Quran itu dalam penghayatannya.
10. Menangislah ketika sedang membaca Al-Quran
Terutama ketika membaca ayat-ayat yang berkaitan tentang hukuman dan azab Allah. Contohnya seperti peristiwa-peristiwa di hari kiamat yang memberi gambaran yang sangat menakutkan. Maka cubalah menangis mengenangkan hatinya yang keras dan airmatanya yang membeku susah untuk menangis yang menghalangnya daripada mendapat nikmat-nikmat ini.
Jika tidak memahami bahasa Arab, kita boleh merujuk terjemahan al-Quran dan kitab-kitab tafsir yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Dengan itu kita dapat memahami dan menjiwai setiap bacaan sehingga mampu untuk menitiskan air mata.
11. Memberi penekanan terhadap ayat-ayat al-Quran untuk memahami makna-maknanya serta menyedari akan hakikat-hakikat yang terkandung di dalamnya.
Melalui amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan kalam ALLAH itu, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi masyarakat Islam untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Penghayatan terhadap mesej yang terkandung dalam al-Quran juga dapat menyuntik motivasi diri agar lebih maju dan berjaya dalam kehidupan.
12. Merasakan diri sedang berbicara dengan ayat-ayat yang dibaca dan merasakan bahawa segala taklif dan tanggungjawab itu sedang ditujukan kepada dirinya.
Dalam tempoh yang lama kita berhenti di hadapan ayat-ayat tertentu semata-mata untuk mengetahui apakah perintah dan larangan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Contohnya penumpuan pada ayat-ayat yang dimulai dengan ungkapan “yaa ayyuhan naas” atau “yaa ayyuhal ladhiina aamanuu” ataupun “yaa ayyuhal insaan”. Kebiasaan selepas ungkapan tersebut disusuli dengan ayat-ayat yang mengandungi suruhan-suruhan yang mesti dilaksanakan dan larangan-larangan mesti dijauhi serta mengandungi teguran, peringatan, panduan dan nasihat semata-mata memperoleh kebaikan dan petunjuk daripada Allah SWT.
13. Menjauhi perkara-perkara yang menghalang daripada memahami ayat-ayat al-Quran dan mentadabburnya.
Antara faktor dan halangan tersebut ialah tidak memelihara adab-adab dan tingkah laku yang betul ketika berinteraksi dengan al-Quran.
14. Beradab ketika mendengar bacaan al-Quran
Kita mestilah memberi sebaik-baik perhatian kepada bacaan yang didengari serta berdiam diri sambil memahami setiap bacaan tersebut. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat ke 204:
Mafhumnya: Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.
Maka tidak patut bagi seseorang yang mendengar bacaan al-Quran melalui telefon bimbit atau radio contohnya, kemudian berpaling arah ke tempat lain dan membuat perkara-perkara sampingan. Sepatutnya tunggulah sebentar sehingga bacaan itu tamat.
Daripada perkongsian ini kita dapati banyak kesilapan kita terhadap al-Quran. Mungkin perkongsian kali ini akan menjadi sedikit istimewa berbanding sebelumnya yang mana kita berusaha memperbetulkan sikap dan adab kita ketika berinteraksi dengan al-Quran.
Marilah sama-sama kita menginsafi dan mentadabbur segala intipati yang terdapat di dalam al-Quran dan semoga kita dapat memanfaatkan sebaiknya
Semoga bacaan, penghayatan, jaga adab Al Quran dan tadabbur kita menjadi lebih baik dan menjadikan kita seorang yang berjiwa rabbani qurani.
Abdul Hadi Abd Aziz (UTHM)