Haji 2022

Jemaah Haji Malaysia yang mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini cukup bertuah. Kerajaan Arab Saudi bukan sahaja memberi penempatan baharu tetapi juga kawasan khemah yang berdekatan dengan masjid, ketika berada di Mina.

Kelebihan itu boleh dimanfaatkan jemaah haji kerana bukan sahaja boleh solat di masjid tetapi juga menggunakan kemudahan di situ untuk diri mereka.

Tahun ini semua tapak di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah tapak baharu. Walau bagaimanapun kemudahan dan kedudukannya masih lagi dalam suasana yang baik dan memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia.

Perkhemahan di Mina adalah berdekatan dengan Masjid Kuwait yang merupakan salah satu masjid di Mina. Sudah tentunya kemudahan itu dapat dinikmati jemaah haji Malaysia. Mereka boleh ke masjid untuk solat dan gunakan kemudahan masjid itu.

Mina 2021
Gambar di Mina pada musim haji 2021

Persiapan fasiliti di Arafah, Muzdalifah dan Mina, bagi jemaah haji mengerjakan ibadah Wukuf, kini pada tahap 50 hingga 60 peratus. Kerja-kerja penyediaan fasilti itu dilihat berjalan mengikut jadual dan akan disiapkan menjelang tibanya Hari Wukuf dengan pemantauan pihak muassasah dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Difahamkan sebanyak 75 khemah pelbagai saiz disediakan di Arafah manakala di Mina lebih daripada 600 khemah.

Malaysia sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama dijemput kerajaan Arab Saudi untuk memilih waktu melaksanakan ibadah melontar jamrah.

Kelebihan yang diberikan membolehkan Malaysia memilih antara pukul 8 hingga 10 malam untuk ibadah itu dan ia memberi keselesaan berbanding cuaca pada waktu siang yang boleh mencecah suhu melebihi 50 darjah Celcius.

Baca juga : Kenapa Kiswah Kaabah Dinaikkan 3 Meter Bila Tiba Musim Haji?

Jemaah Haji Malaysia

Malaysia dipanggil sebagai negara pertama dan diberi keutamaan untuk memilih. Apabila perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah, mereka hanya menerima apa sahaja waktu yang kita pilih dan ia telah dimeterai dalam satu perjanjian antara Malaysia dan Arab Saudi.

Jadual yang dipilih bersesuaian dengan jemaah haji dan jadual operasi haji kita. Ini satu kebaikan kerana kita diberi keutamaan. Negara lain kemungkinan akan pergi pada waktu pagi, zohor dan asar manakala kita pergi waktu malam.

Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama menerima permit operasi pusat perubatan di Arab Saudi, malah turut disenarai antara lima negara yang menyertai ‘Makkah Route”.

Pada 13 Zulhijjah sebahagian jemaah akan melontar jamrah pada awal pagi iaitu selepas subuh. Pengaturan waktu melontar dilaksana untuk mengelak kesesakan serta musibah yang tidak diingini. 

Baca juga : Tiada Badal Haji Ditawarkan Pelajar Malaysia di Mekah

Jemaah Haji Malaysia
Ustaz Mohd A’fifi bersama jemaah haji 2022

Tahun ini ikut perancangan jika wukuf jatuh pada hari Jumaat, kita akan bermula dengan pergerakan awal petugas pada 7 Zulhijjah (6 Julai). Mereka akan pergi pada waktu malam dan berada di sana untuk bersiap menerima jemaah haji Malaysia yang akan bergerak pada Khamis (7 Julai) bermula awal pagi.

Pergerakan jemaah menggunakan 17 bas bermula 7 pagi. Kita harap pergerakan dari Makkah ke Arafah berjalan lancar. Pada 10 Zulhijjah mereka akan bergerak pula ke Muzdalifah selepas waktu magrib untuk bermabit sehingga separuh malam iaitu 11.45 malam.

Setelah itu, mereka akan bergerak pula dari Muzdalifah ke Mina dan berada di situ selama tiga hari bermula 10 Zulhijjah. Sebahagian jemaah akan balik awal dan sebahagian lagi akan tunggu sehingga 13 Zulhijjah.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge