Sungai Furat Kering

Tanda kecil kiamat terlalu banyak, segeralah bertaubat. Keringnya Sungai Furat, petanda hari kiamat sudah dekat dan sudah bersediakah kita mempersiapkan diri untuk berdepan akhir zaman.

Bilakah masanya Sungai Furat mengering sepenuhnya bukanlah perkara utama sebaliknya persiapan diri kita untuk menghadapi akhir zaman. Persiapkan diri dengan iman untuk hadapi segala kemungkinan.

Tanda Kecil Terlalu Banyak

Setiap yang bermula pasti ada penamatnya, setiap yang hidup pasti merasai mati serta setiap kehidupan itu pastinya akan menempuh pengakhiran dan itu adalah sunatullah yang sudah ditetapkan dan kita semua akan melaluinya.

Begitu juga dengan dunia ini, ia semakin hampir dengan pengakhirannya dan salah satu tanda dekatnya kiamat adalah keringnya Sungai Furat.

Berdasarkan kepada maklumat daripada Britannica menjelaskan bahawa Sungai Furat yang juga disebut sebagai Sungai Eufrat mempunyai kepanjangan 2,800 kilometer (km) dan ia adalah salah satu daripada dua bahagian sistem sungai Tigris-Eufrat.

Memperihalkan sungai itu dalam geografi, Sungai Furat ini menaik sehingga ke Turki dan mengalir ke tenggara merentasi Syria dan melalui Iraq.

Baca juga : Bandar Purba 3,400 Muncul, Keringnya Sungai Tigris

Sungai Tigris
Sungai Tigris yang bertemu Sungai Furat

Segeralah Bertaubat

Sungai itu terbentuk menerusi pertemuan Sungai Karasu dan Murat di Tanah Tinggi Armenia, Eufrat menuruni antara banjaran utama Pergunungan Taurus ke dataran tinggi Syria.

Ia kemudian mengalir melalui barat Iraq dan tengah untuk bersatu dengan Sungai Tigris. Lembahnya mempunyai pengairan yang banyak pada zaman dahulu dan banyak bandar besar, sebahagian daripada runtuhannya masih kekal, memenuhi tebingnya.

Dengan Tigris, ia mentakrifkan kawasan yang dikenali secara sejarah sebagai Mesopotamia.

Sungai ini banyak memberi gambaran tentang Hari Kiamat dan ia berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW bermaksud:

“Tidak terjadi Hari Kiamat itu sehingga Sungai Furat menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata ‘mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu.” (Hadis Riwayat Muslim, No 5152)

Hadis ini jelas memberi gambaran bahawa perebutan bukit emas itu akan berlaku dan pertumpahan darah yang dahsyat akan terjadi kerana mahu merebut kekayaan berkenaan.

Apabila Keringnya Sungai Furat

Rasulullah SAW dalam hadis di atas menjelaskan bahawa daripada 100 orang yang bertempur, 99 orang akan mati dan hanya seorang saja yang hidup.

Begitulah dahsyatnya perebutan harta berkenaan dan sebagai umat Islam, Nabi SAW sudah mengingatkan kepada kita semua supaya tidak mengambil harta berkenaan walaupun sedikit.

Sungai Furat adalah sungai terpanjang di Asia Barat. Mengairi tiga buah negara iaitu Turki, Syria dan Iraq. Ia berpunca dari hiliran timur Turki, kemudian merentasi Syria, memasuki Iraq dan bertemu ulu sungai Tigris sebelum berakhir di muara Shatt Arab, pesisir Teluk Parsi.

Sungai Furat bersama Sungai Tigris menjadi sumber air dan juga laluan penting. Sehingga hari ini Furat masih membekalkan air bersih kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.

Bukti sains juga menunjukkan bahawa sungai itu semakin mengering hasil daripada imej cerapan satelit daripada tahun ke tahun dan ini membenarkan sabda Nabi SAW berhubung pengeringan sungai berkenaan dan akan muncullah bukit emas yang menjadi rebutan.

Baca juga : Green Circle Saudi, Bila Padang Pasir Mulai Subur Menghijau

Sungai Tigris dan Sungai Furat

Ukiran ‘Batu Kelaparan’

Memetik laman Science Alert, penampakan batu-batuan yang diukir berabad-abad lalu telah kelihatan ekoran paras air yang kian merosot. Difahamkan, makna ukiran pada batuan tersebut seolah-olah sebuah amaran kepada generasi akan datang mengenai kesukaran yang bakal dihadapi pada masa hadapan.

Akhbar tempatan turut melaporkan bahawa penduduk tempatan memberitahu batuan yang berabad itu dikenali sebagai ‘Batu Kelaparan’.

Batuan itu kelihatan setelah sungai-sungai di Eropah menjadi kering akibat berlakunya kemarau. Salah satu batu yang dijumpai terletak di tebing Sungai Elbe, yang bermula di Republik Czech dan mengalir melalui Jerman.

Batu itu disifatkan wujud sejak 1616 dan terukir dengan amaran dalam bahasa Jerman.

‘Wenn du mich seehst, dann weine’ yang bermaksud jika anda melihat saya, maka risaulah.

Artikel berkaitan :  7 Perkara Yang Diketahui Mengenai Imam Mahdi

Keringnya Sungai Furat

Kiamat Sudah Dekat

Islam menganjurkan kepada kita supaya sentiasa bersedia dengan meningkatkan amal ibadah dan kembali kepada Islam sebenar berlandaskan kepada al-Quran, hadis dan ikutan ulama muktabar.

Sesungguhnya, pengakhiran untuk dunia ini pasti akan berlaku kerana perkara berkenaan sudah pun dinyatakan menerusi banyak firman Allah SWT yang mengingatkan tentang hari kiamat dan manusia akan diadili di padang mahsyar.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah akan datang kiamat sehingga matahari terbit dari tempat terbenamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat maka orang ramai melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, No 4269)

Oleh itu, tanda-tanda kecil Hari Kiamat sudah terlalu banyak di hadapan kita dan segeralah kita bertaubat memohon keampunan atas dosa dan kesilapan yang dilakukan.

1 Comment

  1. Allahuakbar..seram dan takut memikirkan pertempuran merebut emas tu..bila2 masa aje akan berlaku..

    Sama2 la kita bersedia untuk menghadapi kiamat…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge