Sayur naik harga

Harga sayur-sayuran dijangka terus meningkat sehingga selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina, kata Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur.

Presiden persatuan itu, Wong Keng Fatt berkata, punca kenaikan harga ialah peralihan Monsun Timur Laut.

Ia menyebabkan berlakunya bencana banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands dan kawasan tanaman sayur sekitarnya yang menjejaskan hasil dan bekalan.

Harga beberapa jenis sayur seperti kubis bunga, kacang panjang serta cili mengalami peningkatan sehingga 200% sejak dua minggu lalu.

Sayuran

Pelbagai Faktor Naikkan Harga Sayur

Kenaikan itu juga disebabkan oleh kekurangan bekalan dan tenaga kerja. Pemulihan ekonomi yang perlahan menyebabkan kita sukar membawa masuk pekerja asing.

Pembekal di Cameron Highlands juga telah memaklumkan mengenai beberapa masalah yang dihadapi seperti bencana banjir, tanah runtuh dan kekurangan tenaga kerja.

Sekatan global akibat pandemik Covid-19 memberi kesan teruk terhadap bekalan sayur-sayuran.

Harga ini amat dipengaruhi oleh permintaan dan bekalan. Sayur seperti cili agak mahal kerana ia bermusim dan bergantung kepada faktor import. Kos pengangkutan juga meningkat, menyebabkan pembekal tiada pilihan kecuali menaikkan harga barang.

Harga sayur naik

Antara sayur-sayuran yang dilapor mengalami kenaikan harga ialah kubis bunga daripada RM7 kepada RM16 sekilogram, sawi pendek RM3 kepada RM9, brokoli RM8 kepada RM20 dan sawi RM5 kepada RM8.

Turut mengalami kenaikan ialah kacang buncis dari RM8 kepada RM15 sekilogram, kubis RM4 kepada RM6, cili merah RM13 kepada RM19 dan cili hijau RM10 kepada RM14.

Isu kenaikan harga sayur-sayuran dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini. Ia menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyiasat perkara itu kerana dikhuatiri pembekal melanggar Akta Anti-Percatutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge