Site icon Geng Borak

Kiswah Kaabah Ditukar, Buka Tirai Tahun Baharu Islam 1444 Hijrah

Kiswah Kaabah 1444H

Kain hitam bersulam benang emas dikenali sebagai Kiswah Kaabah di Kota Suci Makkah, Arab Saudi dijadual diganti pada hari ini (Jumaat), selepas solat Isyak waktu tempatan sebagai simbolik kepada pembuka tirai Tahun Baharu Islam 1444 Hijrah pada Sabtu.

Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi perkongsian di Twitter menyatakan kerja-kerja penggantian Kiswah akan dikendalikan oleh 166 kakitangan jabatan, sesuai dengan tradisi tahunan.

Agensi Berita Saudi (SPA) sebelum ini melaporkan Kiswah Kaabah akan diganti pada Sabtu (30 Julai), memetik kenyataan jabatan berkenaan pada 26 Julai.

Bagaimanapun, jabatan hari ini memaklumkan tiada anak bulan Muharram dicerap pada petang Khamis dan kiraan bulan Zulhijjah digenapkan 30 hari (30 Jun – 29 Julai) hari ini (Jumaat), sekaligus menjadikan 1 Muharram (Awal Muharram) ditetapkan pada Sabtu sebagai permulaan kalendar Islam di Arab Saudi.

Arab News dalam laporannya memetik Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais sebagai berkata sebanyak 200 pekerja mahir terbabit dalam pembuatan Kiswah itu di Kompleks Raja Abdul Aziz.

Kiswah diperbuat daripada 670 kilogram (kg) sutera berkualiti tinggi, 120 kg benang emas dan 100 kg benang perak.

Portal berbahasa Inggeris jabatan itu mengatakan, sejak beberapa dekad Kiswah diganti pada pagi 9 Zulhijjah, iaitu pada Hari Arafah selepas jemaah haji bertolak ke Arafah dan Masjidil Haram berada dalam keadaan tenang tanpa kesesakan manusia, memudahkan pihak berkuasa menjalankan upacara penggantian.

Baca juga : Kenapa Kiswah Kaabah DInaikkn 3 Meter Bila Tiba Musim Haji?

Perubahan masa upacara kali ini dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan jabatan untuk mengagihkan sambutan di Dua Masjid Suci dan juga sebagai simbolik untuk menyambut ketibaan jemaah Umrah dari dalam dan luar Saudi. 

Sebenarnya, tradisi ini sudah pun bermula sejak zaman purba lagi kerana Kaabah adalah pusat ibadah yang penting untuk lebih daripada satu agama-agama Arab lama yang kini sudah pupus.

Asalnya, Kiswah dalam pelbagai warna dan jenis kain. Melindungi Kaabah dengan Kiswah dianggap sebagai satu penghormatan dan istimewa. 

Maka terdapat persaingan yang sengit antara kabilah-kabilah Arab bagi menutupi Kaabah dengan Kiswah di zaman jahiliah kerana pengaruh dan kepentingannya.

Baca juga : Peristiwa dan Gambar Mencuci Dalam Kaabah

Semasa zaman Rasulullah SAW, baginda menutupi Kaabah dengan kain Yaman berwarna putih dengan garis merah dan menukarnya dua kali setahun iaitu sebelum Ramadan dan semasa haji.

Semasa zaman pemerintahan khalifah, Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Uthman bin Affan, Kiswah berwarna putih. Sedangkan zaman Ibn al-Zubayr, Kiswah berwarna merah. 

Semasa era Kerajaan Abbasiyah pula, Kiswah berselang-seli berwarna merah dan putih. Khalifah al-Nassir menukarnya kepada warna hijau dan kemudian hitam sehingga ke hari ini. 

Exit mobile version