Suatu fenomena yang seharusnya dielakkan terjadi dan makin berleluasa, walau hakikatnya media sosial adalah platform komunikasi yang popular dan bukanlah satu perkara yang asing lagi. Setiap hari, ada sahaja perkongsian yang dibuat oleh pengguna media sosial untuk dikongsi dan dibaca netizen. Hinggakan, terdapat segelintir pengguna ‘terbabas’ dalam arus yang adakalanya mereka sendiri tidak menyedari apa yang dibuat. Ini semua menyalahi dan telah melampaui batas yang sewajarnya, apatah lagi bagi yang beragama Islam.
Sedarkah kita, banyak berita yang kadang-kadang bertujuan bukan untuk mendidik tetapi sebagai propaganda. Cuma mengalihkan pemikiran masyarakat daripada isu yang lebih penting, bertujuan untuk kekuasaan, populariti dan tidak terkecuali untuk meraih simpati. Walaupun adakalanya isinya adalah bohong dan kosong, kadang-kadang ia hanya membesar-besarkan hal-hal yang sebenarnya adalah kecil. Dan juga membesar-besarkan prestasi yang sebenarnya bukan reputasi.
Itulah yang melanda umat kita hari ini. Pelbagai isu yang belum tentu sahih disebarkan oleh banyak orang sebagai tanda menyokong atau memerli. Tentunya bukan saja akal yang sihat yang diperlukan untuk menjamah berita dan kandungan yang dilihat, tetapi juga kearifan dalam memandang konteks yang dibaca tersebut.
Media Sosial Semakin Membarah
Memang benar kata-kata aktivis hak asasi manusia Amerika Syarikat, al-Hajj Malik Al-Shabazz yang lebih dikenali sebagai Malcom X. “Sesiapa yang menguasai media, dia akan menguasai dunia.” Namun dalam konteks yang diketengahkan ini, ia lebih kepada membuka pekung sendiri dan bagi tujuan tertentu. Ia semakin membarah dalam masyarakat tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan. Apalagi dewasa ini penyebaran aib makin meluas dengan adanya teknologi yang serba canggih.
Menurut pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Islam Malaysia (USIM), Dr Rezki Perdani Sawai, walaupun pendedahan diri penting dalam pembentukan dan perkembangan hubungan interpersonal, pembentukan kepercayaan serta bertindak sebagai ganjaran sosial yang memudahkan pembinaan hubungan, namun bagaimanakah jika perkongsian tersebut membuka aib sendiri atau orang lain?
“Tanpa disedari, media sosial telah menjadi platform untuk meluahkan perasaan sama ada perasan sedih, gembira, keterujaan hinggakan medium ini kadangkala menjadi tempat membuka aib diri sendiri atau orang lain.” Menurutnya, jika dahulu individu meluahkan perasaan kepada insan terdekat seperti ahli keluarga sendiri, namun kini senario yang berlaku adalah berbeza.
“Perkongsian di media sosial juga tidak semestinya dilihat oleh mereka yang ada pertalian sahaja, malah terdapat dalam kalangan mereka kenalan jauh dan orang asing yang tidak dikenali,” ujarnya. Beliau berkata, orang asing ini kemudiannya dapat mengetahui segala apa sahaja yang dikongsikan di layar media tersebut, sekali gus boleh membawa kepada natijah buruk seperti penyebaran maklumat berunsur fitnah dan eksploitasi.
Sembunyikan Aib
Sepatutnya aib adalah perkara yang tidak boleh didedahkan atau disebarkan kepada khalayak dengan sewenang-wenangnya, apatah lagi umat Islam dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya.
Ini bersesuaian dengan hadis yang menyeru agar menutup keaiban sendiri ataupun orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai sekalian manusia yang masuk Islam dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang Muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya. (HR Tirmizi, No. 2032, Hadis Hasan)
Amat jelas, hadis ini menyeru kita menyembunyikan aib sendiri serta menutup keaiban orang lain. Realiti kini, fenomena menyebarkan aib berlaku dalam pelbagai bentuk, antaranya menjaja kisah keruntuhan rumah tangga, merakam video, menyebar gambar mengaibkan pasangan dan sebagainya.
Kebebasan dalam media sosial itu hakikatnya disalah guna oleh mereka, apalagi jika ia seorang yang dikenali atau mempunyai nama. Seolah-olah mendapat ‘like’ dan ‘share’ adalah tujuan utama, namun hakikatnya ia telah mencemarkan imej, malah melukakan rasa hati banyak pihak.
Aib Tanpa Sedar
Adakalanya juga, pasangan tanpa segan silu menandakan nama pasangan atau ‘tag’ di hantaran-hantaran yang berkaitan yang mana tanpa kita sedar telah membuka aib pasangan. Apabila berlaku perselisihan faham antara pasangan, maka syarak menggalakkan agar mereka tahammul (bertahan), tetapi apabila melibatkan soal hati dan perasaan yang dipendam, bukan semua manusia mampu bertahan dan bersabar.
Hari ini terdapat pasangan yang menggunakan media sosial untuk menceritakan keburukan pasangannya. Perbuatan ini merupakan perbuatan yang ditegah dan dilarang dalam Islam, melainkan mereka menggunakan saluran yang betul sepertimana kata Imam Nawawi dalam menceritakan perihal seseorang khususnya pasangan dibenarkan seperti berikut:
- Membuat aduan kepada pihak berkuasa apabila dizalimi.
- Menceritakan kepada mufti bagi tujuan mendapatkan fatwa.
Justeru, apabila berlaku sesuatu dalam rumah tangga, seharusnya ia diselesaikan dengan cara yang disarankan agama, bukan mendedahkan di media sosial hingga semua orang tahu kisah mereka.
Baca juga : Rasulullah SAW Ajarkan Doa Supaya ALLAH Tutup Aib Kita
Berhati-hatilah Dengan Media Sosial
Malcom X pernah mengatakan, jika seseorang itu tiada kepedulian terhadap media:
“if you’re not careful, the newspaper will have you hating the people who are being oppressed and loving the people who are doing the oppressing.”
Begitulah, jika kita tidak berhati-hati, media akan membuatkan anda membenci orang yang ditindas dan menyayangi mereka yang melakukan kezaliman.
Sedarkah kita, peradaban umat manusia pada abad ke-21 ini merupakan era teknologi informasi yang sangat canggih dan mencabar. Futurologis John Naisbitt, mengungkapkan:
“We are moving toward the capability to communicate anyone, anywhere, any form-voice, data, textor image at the speed of light.”
(Kita sedang bergerak ke arah kemampuan untuk berkomunikasi dengan siapa sahaja, di mana sahaja. Apa saja bentuk suara, data, imej berteks dalam kelajuan cahaya)
Menurut John Naisbitt lagi;
“The new source of power is not money in the hands of a few but information in the hands of many.”
(Sumber kuasa baharu bukanlah wang di tangan segelintir orang, tetapi informasi di tangan-tangan ramai).
Beginilah antara gambaran era informasi global yang menjadi cabaran di hadapan kita di mana pun berada. Kemunculan media sosial menimbulkan reaksi yang memberi implikasi bukan sedikit kepada masyarakat dan negara. Pelbagai perubahan kehidupan terjadi. Ia sangat menyentuh aspek moral, peradaban, keilmuan, keperibadian dan perubahan fizikal.
Mencabarnya arus globalisasi menjadikan media sebagai satu-satunya alat yang paling efektif dalam kerja ‘propaganda’ sesuatu cerita, hingga mampu mencemarkan pemikiran manusia.
baca juga : Sibuk Kejar Viral Jangan Sampai Hilang Moral
Tanggungjawab Apa Yang Dikongsi
Pada akhir tahun lalu (2022), Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut menasihatkan pengguna media sosial agar lebih berhati-hati dan sensitif ketika memapar dan berkongsi video serta gambar yang tidak sesuai sehingga menimbulkan fitnah dan salah faham.
“Pengguna media sosial perlu bertanggungjawab serta menghormati mangsa serta keluarga dengan memberi ruang sepatutnya. Dan wajib tidak membuka aib sama ada menerusi video dan gambar yang dipapar atau dikongsi.”
Media adalah antara wasilah yang sangat berpotensi untuk merebut hati manusia ke arah kebaikan dan kebenaran. Namun, seringnya ia disalah guna. Inilah yang disebut dengan ideologi media. Ideologi media bergantung dengan siapa pemiliknya, apa pemikirannya serta kecenderungan tindakannya.
Maka, ingatlah kita akan sebuah hadis ini, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya. Dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka sedikit pun, dan sesiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang daripada dosa mereka sedikit pun. (HR Muslim, No. 1017)
Tentu kita ingin apa yang dilakukan menjadi amal jariah kebaikan yang bermanfaat setelah ketiadaan diri di muka bumi ini. Namun, ‘fenomena’ yang berlaku ini perlu dihentikan agar ia tidak menjadi wabak walaupun telah membarah. Justeru, marilah berdoa agar Allah SWT pelihara aib kita daripada tersebar.
BERNAMA
Atriza Umar,
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan IKRAM Malaysia
Seakan-akan isu ‘buka aib di mesia sosial’ ni dah menjadi perkara harian..risau. mohon dijauhkan sedara & sahabat2 jadi sebegini.
Laila recently posted…Peristiwa Israk Mikraj, Mukjizat Besar Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW
bukan sahaja buka aib, tetapi tempat untuk menunjuk kekayaan dan kemewahan pada rakan-rakan.