Tidak timbul isu takut mati – itu kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, selepas dia dikecam seorang ahli parlimen kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan wartawan dalam sidang media hariannya di Putrajaya, Noor Hisham malah menegaskan setiap sesuatu yang bernyawa pasti akan mengalami detik kematian.
Kata Noor Hisham dia sudah turun padang pada akhir Ogos lalu untuk melihat sendiri bagaimana persiapan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah menjelang pilihan raya negeri itu.
“Saya juga telah arahkan timbalan saya, Dr Chong (Chee Kheong) untuk turun sama. Tan Sri Jamilah (Mahmood, Penasihat Khas Kesihatan Perdana Menteri) juga turun sama dua minggi lepas untuk melihat tindakan kita dan pengurusan Covid-19.
“Jadi tidak timbul isu kita takut mati,” katanya.
Noor Hisham kemudian membacakan sebahagian daripada ayat 185 surah ali-Imran yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati” dan potongan ayat 156 surah al-Baqarah bermaksud “(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa suatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
“Kita sebagai Islam, kita terima (yakin) di mana-mana pun kematian boleh berlaku,” katanya.
Menurut Noor Hisham KKM membuat perancangan yang khusus untuk Sabah.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, mengecam Noor Hisham kerana dianggapnya lebih banyak mencari publisiti dan seolah-olah takut mati kerana tidak turun padang.
Untuk rekod Tiong merupakan duta khas perdana menteri ke China.
Bernama pula melaporkan, seorang ahli parlimen BN, Shahidan Kassim, mendakwa kenyataan tersebut bukanlah bersifat peribadi daripada Tiong sebaliknya daripada pihak lain yang disampaikan kepada presiden Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak itu.
Noor Hisham berkata apa yang penting baginya ialah, niat yang betul untuk menjalankan tugas.
“Niat kita ialah nak putuskan rantaian Covid-19. Apa yang pasti, apa saja kita laksana adalah untuk putuskan jangkitan Covid-19 supaya kita dapat selamatkan negara,”.