Pinjam duit tak bayar

Mungkin ramai tak tahu bahawa anda sebenarnya boleh tuntut hutang di Mahkamah Tuntutan Kecil. Lagi-lagi tengah musim orang berkira sebab kekurangan duit sekarang. Dikongsikan serba sedikit penerangan tentang prosedur Mahkamah Tuntutan Kecil.

Apakah Itu Mahkamah Tuntutan Kecil?

  1. Diwujudkan untuk mendapatkan tuntutan di bawah RM5,000.00.
  2. Mempercepatkan proses/prosedur untuk menuntut kembali wang/barangan/bayaran dan/atau apa-apa hutang termasuk pelanggaran kontrak;
  3. Meringankan beban mahkamah dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan;
  4. Kos yang terlibat untuk isi dan failkan borang adalah RM20.00 sahaja

Berikut dikongsikan tentang cara tuntut hutang di Mahkamah Tuntutan Kecil:

Syarat-syarat

Antara prasyarat yang perlu dipatuhi sebelum memfailkan tuntutan tersebut adalah seperti berikut:

1. Tuntutan hendaklah tidak melebihi RM 5,000.00;
2. Kehadiran peguam tidak diperlukan didalam tuntutan ini;
3. Tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia; dan
4. Tuntutan tersebut boleh difailkan terhadap mana-mana individu dan syarikat namun tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia. Syarikat tidak dibenarkan untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil.

Apakah Perkara-Perkara Yang Boleh Dituntut?

1. Mendapatkan kembali hutang.
2. Tuntutan barangan.
3. Upah sesuatu perkhidmatan yang tak dibayar.
4. Sewa menyewa.
5. Tuntutan atas barangan yang rosak.
6. Tuntutan persembahan yang tidak dilaksanakan.

Wang Bantuan

Cara Tuntut Hutang Di Mahkamah Tuntutan Kecil

1.Tuntutan (saman) ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran. Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dibuka pada waktu pejabat.

2. Bagi memulakan saman, plaintif dikehendaki mengisi Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah dalam [4] salinan dan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutannya. Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimana tuntutan itu telah berbangkit dan apakah asas tuntutan itu.Tandatangan di borang tersebut atau cap jari. Borang 198 tersebut boleh didapati secara percuma.

3. Setelah menyiapkan borang, plaintif mestilah memfailkan borang dalam 4 salinan tersebut di Pejabat Pendaftaran bagi Mahkamah Majistret Kelas Dua. Plaintif mestilah membayar bayaran pemfailan sebanyak RM20.00. Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran.

4. Seterusnya, plaintif perlu membuat penyampaian Borang 198 kepada alamat terakhir defendan yang diketahui. Boleh download borang tersebut di pautan https://mahknp.files.wordpress.com/2013/10/borang-no-198.docx

5. Seeloknya Plaintif perlulah menyertakan satu salinan surat (“cover letter”) untuk diserahkan kepada Defendan bersama-sama dengan borang tersebut. Plaintif hendaklah mendapatkan tandatangan dan/atau cop defendan serta tarikh penyampaian tersebut dibuat. Hal ini akan membantu Plaintif dalam membuktikan penyerahan telah dibuat secara kediri dengan berjaya sekiranya Defendan akan menyangkal penyerahan/penyampaian (“denied service”) yang telah dibuat itu.

6. Sekiranya defendan yang telah disampaikan secara sempurnanya dengan Borang 198 mempertikaikan tuntutan, defendan bolehlah menyampaikan pembelaannya dalam Borang 199 yang difailkan dalam empat salinan dalam empat belas hari selepas penyampaian tuntutan itu.

7. Apabila peringkat di atas telah selesai plaintif atau defendan dikehendaki hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.

borang 198

Bagaimana Jika Orang Yang Berhutang Tu Buat Tak Tahu Je Selepas Penghakiman?

Sekiranya Defendan masih bersifat degil dan keras kepala, anda hanya perlu kembali ke Mahkamah Majistret tersebut dan fail kes anda, menggunakan borang 208 yang boleh juga didapati secara percuma.

Sampaikan Borang 208 ini seperti anda menyampaikan Borang 198.

Defendan perlu hadir di Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk menunjukkan sebab, melainkan jika dia menyelesaikan hutang itu dalam tempoh 10 hari dari penerimaan notis.

Di Mahkamah, Mahkamah Majistret mempunyai 3 pilihan untuk berurusan dengan defendan. Mahkamah boleh:

1. memberi defendan lebih banyak masa untuk menjelaskan penghakiman itu atau membolehkan bayaran ansuran;
2. memerintahkan writ penyitaan dan penjualan. Ini bermakna bailiff yang akan menilai barangan defendan, menyitanya dan lelong. Hasil lelongan kemudiannya boleh digunakan untuk menampung hutang; atau
3. perintah defendan untuk dipenjarakan. Jika defendan tidak hadir di Mahkamah yang diarahkan, waran tangkap akan dikeluarkan oleh seorang Majistret.

Baca juga : Mana Lebih Utama? Bayar Zakat Harta atau Selesaikan Hutang

Mahkamah Tuntutan Kecil

Tips & Maklumat Lanjut Tentang Prosedur Tuntut Hutang Di Mahkamah

Sekiranya anda perlu memberi pinjam wang kepada rakan anda, lakukan dengan cara pindahan wang melalui transaksi online sahaja. Jangan berikan wang secara tunai.

Sekiranya rakan anda tidak mempunyai akaun bank dan perlu pindahan secara tunai, pastikan anda menyediakan surat akuan terima wang yang ringkas dan minta rakan anda menandatangani surat tersebut.

Surat itu menjadi bukti penerimaan wang oleh rakan anda dan akan menjadi bukti penting dalam mahkamah kelak.

Pastikan tempoh pembayaran balik dipersetujui terlebih dahulu sebelum wang diberikan. Masa bayaran dan cara bayaran dilakukan juga perlu ditetapkan terlebih dahulu. Semua terma perlu jelas supaya tidak menjadi pertikaian kelak di mahkamah.

Liyana the Lawyer

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge