Bahana ah long

Purata sebanyak 80 aduan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh sebulan sejak Januari sehingga Oktober lalu membabitkan kes pinjaman ah long di seluruh negara. Aduan-aduan yang diterima berpunca daripada sikap mangsa sendiri yang meminjam wang daripada lintah darat sehingga menyebabkan diri mereka terjerat dengan bayaran balik pinjaman berlipat kali ganda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din memberitahu, berdasarkan statistik dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 sehingga Oktober lalu, sebanyak 3,149 aduan membabitkan pinjaman ah long direkodkan.

Kesemua aduan yang diterima adalah membabitkan pelbagai golongan seperti ahli perniagaan, peniaga, pengawal keselamatan dan pemandu grab dengan jumlah pinjaman sebanyak RM27.77 juta dalam tempoh itu.

pinjaman ah long

Ramai Terjerat, Ancam Keselamatan Keluarga

Sebanyak 2,283 kes direkodkan sepanjang 2019 sehingga tahun lalu membabitkan jumlah keseluruhan pinjaman bernilai RM24 juta.

Bagi tahun ini pula, sebanyak 839 kes diterima sejak Januari lalu sehingga Oktober lalu membabitkan jumlah pinjaman RM3.7 juta.

Meskipun tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan sahaja terhadap diri sendiri bahkan turut mengancam keselamatan ahli keluarga, masih ramai terjerat membuat pinjaman dengan mana-mana institusi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long ini.

Dalam tempoh sama juga, Johor mencatatkan jumlah aduan tertinggi apabila sebanyak 1,053 kes ah long dilaporkan membabitkan pinjaman RM1.93 juta diikuti Selangor dengan 483 kes dengan jumlah kerugian RM12.9 juta.

Tiga lagi negeri mencatatkan jumlah aduan tertinggi membabitkan sindiket ah long ini iaitu Pulau Pinang apabila sebanyak 267 kes dilaporkan melibatkan jumlah keseluruhan pinjaman RM4.89 juta, selain Perak (249 kes) dan Kuala Lumpur (200 kes)

rasuah duit

Desakan Hidup dan Ada Permintaan

Selagi ada permintaan untuk perkhidmatan pinjaman dari ah long, selagi itulah masalah jenayah membabitkan sindiket ini berlaku. Sindiket ah long melakukan bermacam-macam tindakan termasuk mengancam nyawa peminjam dan keluarga semata-mata untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam mangsa.

Sebagai langkah membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa, polis tidak berdiam diri malah bertindak menahan sebanyak 3,269 individu sepanjang tempoh sama kerana terlibat pelbagai kesalahan jenayah membabitkan sindiket ah long.

Sebanyak 952 orang dituduh di bawah pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ancaman dan ugutan jenayah) serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu selain Seksyen 4(1) Akta ) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Sepanjang tahun 2019 sehingga tahun lalu sahaja, sebanyak 2,305 tangkapan dilakukan yang mana 662 daripada mereka telah dituduh di mahkamah. Dalam tempoh 10 bulan tahun ini pula, PDRM menahan 964 ahli sindiket ah long yang mana 296 orang didakwa.

Statistik Kes Ah Long Sejak 2019 – Oktober 2021

NegeriTahun 2019Tahun 2020Sehingga Okt. 2021
Perlis663
Kedah423833
Pulau Pinang779299
Perak6811269
Selangor179161143
Kuala Lumpur756164
Negeri Sembilan673041
Melaka243620
Johor471414168
Pahang522221
Terengganu211835
Kelantan101113
Sabah784831
Sarawak553799
Jumlah1,2251,085839

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, diingatkan agar orang ramai jangan terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan tawaran iklan-iklan pinjaman wang di dalam media-media sosial.

Pastikan hanya membuat pinjaman wang dari syarikat pinjaman wang yang berlesen atau melalui institusi kewangan yang diiktiraf dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.

Selain itu, sebelum melakukan sebarang pinjaman, buat semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) melalui laman sesawang www.kpkt.gov.my terlebih dahulu.

-UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge