765Shares

Sebanyak 16 pesawat tentera udara Republik Rakyat China (PRC) dikesan menghampiri ruang udara Malaysia pada Isnin, terdiri daripada pesawat pengangkut jenis Ilyushin IL-76 dan Xian Y-20 yang terbang dalam formasi taktikal.

Meskipun kumpulan pesawat berkenaan dipintas tentera udara Malaysia dan berpatah balik, dipercayai peristiwa ini pertama kali sejumlah besar pesawat tentera PRC menghampiri ruang udara kita.

Berikut ringkasan peranan dan kemampuan dua jenis pesawat terbabit:

Ilyushin IL-76

IL-76 merupakan pesawat pengangkut jarak sederhana dengan peranan untuk menerbangkan askar payung terjun atau askar darat; mengangkut barangan tempur, termasuk kereta perisai saiz sederhana; atau penangki minyak bagi pesawat tempur.

Dengan kebolehan untuk berlepas dari lapangan tidak berturap, IL-76 mampu mengangkut muatan seberat 47 tan sejauh 3,000km, atau 6,100km dengan muatan seberat 20 tan.

Antara 1979 dan 1991, IL-76 milik tentera Soviet membuat 14,700 penerbangan untuk perang di Afghanistan, membawa 786,200 orang tentera dan mengangkut 315,800 tan barangan.

Tentera udara PRC dikatakan mempunyai 17 buah IL-76, dengan tiga diubah suai menjadi pesawat amaran awal bagi pesawat tempur.

Sumber Gambar : FMT

Xian Y-20

Y-20 merupakan pesawat pengangkut muatan berat dengan peranan untuk menerbangkan askar dan kelengkapan berat, serta boleh diubah suai untuk menjadi penangki minyak atau pesawat amaran awal bagi pesawat tempur.

Dengan kebolehan untuk mendarat di lapangan terbang kecil di pergunungan, Y-20 mampu mengangkut muatan seberat 66 tan, dan boleh melaksanakan misinya dalam cuaca buruk.

Tahun lalu, Y-20 milik tentera udara PRC dilapor menjayakan latihan menggugurkan ratusan askar payung terjun dan dua pelancar roket berganda di kawasan penara tanah tinggi dalam satu eksesais.

Tentera udara PRC dikatakan mempunyai 20 buah Y-20.

Baca juga : OPERASI CURIGA TUDM : 16 BUAH PESAWAT TENTERA UDARA CHINA DIKESAN

Sejarah China ceroboh sempadan Malaysia

Tahun lepas, Jabatan Audit Negara melaporkan kapal pengawal pantai Republik Rakyat China dan tentera laut China menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali, antara 2016 dan 2019.

Ketua Audit Negara juga melaporkan Beijing tidak menghiraukan lima nota bantahan diplomatik berhubung pencerobohan itu. PRC menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang menyebabkan pertikaian tentang sempadan maritim dengan Malaysia serta tiga negara Asean lain.

Tuntutan China juga bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Malaysia. -FMT

765Shares

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge