2063385

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin menjelaskan beberapa dakwaan dan salah nyata fakta yang tular menerusi domain awam berhubung dengan urusan Quantum Metal Sdn. Bhd. (QMSB).

QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA). QMSB berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA bersama-sama dengan sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akauntan, syarikat amanah dan setiausaha syarikat.

Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

quantum metal
Gambar Hiasan

Dakwaan Quantum Metal Sdn Bhd Diluluskan BNM

Walau bagaimanapun, dengan status QSMB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas, adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM. Sebarang dakwaan bahawa aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar.

BNM juga telah maklum mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA. BNM ingin menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

quantum metal

Tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM. Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut.

BNM ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan. Sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan.

Rujukan : Bank Negara Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge