Adab pengguna di media sosial semakin kritikal, benarkah?

Seketika dulu, hangat di media sosial mengenai tindakan seorang individu wanita memuat naik status di laman Twitter untuk membunuh rakan sebiliknya. Dan, tambah ‘mengharukan’ lagi, rakan sebiliknya itu merupakan adik kepada selebriti yang sedang meningkat naik, Naim Daniel.

Kes-kes memaki hamun, penulisan tidak ada etika dan pelbagai lagi kisah di media sosial. Kebanyakannya daripada perkongsian kisah kehidupan, cerita rumahtangga, pasangan mahupun keluarga. Betul tak?

Buli siber

Kita tidak mahu membincangkan mengenai kes itu, tetapi apa yang menjadi kebimbangan adalah mengenai adab pengguna di laman media sosial pada masa kini yang semakin meruncing. 

Sebelum ini kita dikejutkan oleh kematian selebriti K-pop ternama yang merupakan seorang pelakon dan penyanyi terkenal, Sulli. Beliau dikatakan membunuh diri akibat tekanan buli siber yang dilaluinya selama ini. 

Masalah buli siber ini cenderung berlaku di dalam kalangan individu di sekeliling berbanding individu yang tidak dikenali. Ini bermakna, individu yang menimbulkan masalah buli siber ini adalah mereka yang anda kenali dan mungkin individu yang sentiasa bersama anda. Tetapi tidak dinafikan ia juga boleh berlaku berpunca daripada mereka yang tidak dikenali.

Faktor utama yang menjadi punca kepada isu buli siber ini adalah adab pengguna yang semakin hilang. Jadi, apakah adab penting yang harus diamalkan ketika bergaul di media sosial? Jom ketahuinya.

Adab di media sosial

Tahukah anda sebenarnya akhlak pengguna ketika di media sosial melambangkan nilai moral dirinya yang sebenarnya? Jadi berikut adalah beberapa adab yang perlu diamalkan ketika melakukan sebarang aktiviti berkaitan media sosial.

  • Batasan

Anda harus ingatkan kepada diri anda, apa yang anda kongsikan di media sosial bukan sekadar menjadi tatapan anda seorang. Tetapi ia boleh dilihat oleh individu lain dan dikongsikan kepada khalayak lain.

Jadi jangan membuat sebarang status atau perkongsian di media sosial yang boleh menyakiti atau melukai hati dan perasaan individu lain. Hindari sebarang penyataan yang boleh mewujudkan salah faham.

  • Nilai moral

Sebagaimana anda menjalani realiti kehidupan seharian anda, seharusnya itulah juga cara yang perlu dilakukan di dalam media sosial. Kedua-dua kehidupan ini, sama ada di media sosial atau kehidupan sebenar mempunyai undang-undang dan kod etika yang harus diikuti.

Mungkin anda sering terlupa, di sebalik skrin komputer, tablet atau telefon pintar itu, tetap wujud satu figura yang dipanggil manusia yang sama seperti anda. Jika anda ingin untuk dihormati, maka anda perlu memulakan langkah dengan menghormati individu lain terlebih dahulu. 

  • Platform dunia siber

Menggunakan media sosial yang berbeza seperti Facebook, Twitter, Instagram atau sebagainya memerlukan adab yang berlainan. Ini kerana kumpulan khalayak di dalam Facebook mungkin berbeza dengan khalayak di Instagram atau Twitter anda.

Begitu juga dengan media sosial seperti WhatsApp atau Telegram. Platform yang berbeza memerlukan adab penggunaan bahasa yang berbeza dan berlainan. Maka anda perlu lebih berhati-hati dan mengetahui had batasannya.

Kita boleh menilai peribadi seseorang individu berdasarkan cara penggunaan laman media sosial. Jadi jika anda ingin dinilai sebagai individu dengan nilai moral dan akhlak yang baik, maka berkelakuan seperti itu di medan sosial. 

Dalam masa yang sama, ketika menggunakan media sosial, pastikan anda menjaga aspek keselamatan anda dengan tidak sewenang-wenangnya berkongsi sebarang maklumat peribadi, perbankan atau sebarang info yang tidak seharusnya dikongsikan kepada umum. Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan mempunyai adab serta etika. 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge